Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid
Presiden Majlis Belia Malaysia
Memimpin Perubahan, Dari Suara Ke Kuasa, Dari Harapan Ke Tindakan
Sempena
Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia kali ke-74
25 Januari 2026
The Zenith Kuantan, Pahang
Sidang Perwakilan yang dihormati sekelian,
Segala puja dan puji dipanjatkan kehadrat Allah hendaknya, serta Selawat dan Salam setinggi-tingginya kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, tidak dilupakan juga kepada keluarganya yang mulia serta para Sahabatnya yang setia.
Pertama dan utamanya, izinkan saya sekali lagi -alukan kehadiran semua perwakilan yang telah hadir ke Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia kali ke 74 ini, yang datang dari seluruh pelusuk negara. Kehadiran kalian semua membuktikan bahawa pergerakan belia masih lagi subur dan releven, meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan tantangan yang bukan kepalang. Untuk itu, mewakili MBM dan seluruh kepimpinan MBM samada Jawatankuasa Kerja mahupun Dewan Tertinggi MBM, saya ucapkan ribuan terima kasih atas komitmen tinggi seluruh perwakilan semuanya.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Belia Negeri Pahang kerana sudi menjadi tuan rumah untuk MPAT kali ini. Buat julung julung kalinya MPAT kita diadakan diluar Kuala Lumpur bagi memberi peluang kepada belia yang di luar Kuala Lumpur untuk turut mendapat peluang merasakan kemeriahan MPAT MBM serta melihat sendiri bagaimana perjalanan MPAT MBM diadakan.
MPAT kali ini juga diberikan sedikit istimewa apabila dimulakan dengan Wacana Belia Diraja, yang mana Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibn Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan bercemar duli merasmikan malah menyampaikan titah, menitipkan titah pesan kepada belia untuk dijadikan pedoman dan amanah kepada seluruh belia Malaysia. Mewakili MBM, patik menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah ibn Almarhum Sultan Ahmad Shah al-Mustain Billah, juga kehadapan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibn Al-Sultan Abdullah Al Mustafa Billah Shah bercemar duli ke Wacana Belia Diraja buat julung-julung kalinya ini dan patik mewakili seluruh belia Malaysia, dan Pahang khususnya akan menjunjung Titah Kebawah Duli Tuanku sebagai satu amanat dan amanah yang kami pikul selaku pewaris Negara dan Negeri ini. Adalah menjadi hasrat MBM juga untuk membawa Wacana Belia Diraja ini ke Istana lainnya, dan kami menjemput mana mana Majlis Belia Negeri lainnya yang berminat untuk bersama sama didalam menganjurkan Wacana Belia Diraja ini.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merekodkan ucapan tahniah kepada YB Menteri Belia & Sukan yang baru, YB Taufik Johari serta YB Timbalan Menteri Belia & Sukan, YB Mordi Anak Dimol kerana telah diberi amanah dan tanggungjawab menerajui Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS). MBM berharap agar hubungan antara KBS-MBM akan terus lebih erat terjalin agar matlamat untuk pembangunan belia dan negara dapat direalisasikan.
Saudara Saudari sekelian,
Kita berhimpun untuk dua hari ini bukan sekadar melengkapkan syarat yang ditetapkan di dalam Perlembagan MBM dan Akta 668, tetapi kita berhimpun pada hari ini kerana kita sudah berada di ambang zaman baru, zaman yang sudah berubah dan perubahan yang sedang kita alami dan hadapi ini juga bukanlah kecil, tetapi satu perubahan yang mengubah keseluruhan ekosistem pembangunan belia di Malaysia, dan kehidupan belia dan anak muda secara kesuluruhannya.
Di sela-sela perubahan ini, maka wajarlah kita kembali berkumpul di pengkalan dan kembali memikirkan strategi dan cara terbaik untuk sama sama menghadapi tsunami yang sedang kita hadapi ini. Dan tiadalah tempat lain yang lebih baik dan sesuai melainkan Majlis Perhimpuann Agung Tahunan MBM, dan atas sebab itu, MPAT kali ini tidak seharusnya hanya menjadi sekadar pelengkap aktiviti tahunan kita semua, sebaliknya MPAT kali ini menjadi ‘pengkalan’ untuk kita kembali menyusun strategi dan kembali memikirkan jalan terbaik untuk pembangunan belia dan anak muda Malaysia ini. Saya menyeru sekelian perwakilan untuk membahas dan melontar idea-idea yang difikirkan wajar dan sesuai untuk dilaksanakan oleh MBM bagi menghadapi perubahan yang sedang kita alami ini.
Hadirin sekelian,
FASA BARU PEMBANGUNAN BELIA
Kita sudah masuk ke fasa yang baru. Had umur 15-30 sudah mula berkuatkuat kuasa bermula 1 Januari 2026 samada kita suka atau tidak, samada kita bersedia atau tidak. MBM konsisten sejak tahun 2018 berusaha untuk meyakinkan pihak pihak yang berkaitan, berkenaan fakta dan hakikat sebenar di akar umbi. Malah pada 18 Ogos 2026, badan badan gabungan MBM telah berhimpun di Parlimen bagi menyatakan pendirian pergerakan belia khususnya belia akar umbi. Kemuncak kepada perhimpunan tersebut adalah penyerahan memorandum belia Malaysia kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Anwar bin Ibrahim.
Meskipun begitu, pihak Kerajaan tetap menyatakan tekad untuk melihat kepada perubahan had umur belia ini diteruskan dan selaku rakyat Malaysia yang taat dan menghormati undang-undang negara yang telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia, maka wajiblah kita akur dan taat.
Saya ingin sekali lagi sebut dengan jelas, dan tegas. MBM tidak menolak perubahan mahupun takut pada perubahan. Kerana pergerakan dan perjuangan belia bukan hanya terkait dengan had umur belia semata-mata. Namun yang kita inginkan ialah satu transisi dan perubahan kepimpinan yang berlaku secara alami dan
tersusun. Kita tidak mahu perubahan yang pada dasarnya baik dan murni, namun terbantut disebabkan kerana ketidaksediaan kita didalam mempersiapkan generasi pelapis mahupun sistem yang masih tidak mendokong perubahan tersebut.
Oleh hal yang demikian, saya tuntut agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak hanya memeluk tubuh dan hanya menjadi penonton sahaja melihat transisi ini berlaku. KBS wajib mengambil tanggungjawab serta memantau pelaksanaan transisi ini terlaksana dengan membantu serta menyokong segala inisiatif yang dirancang oleh pergerakan belia untuk menggerakkan transisi ini.
Dana Rakan Muda RM 40 juta yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri didalam Belanjawan 2026 wajib diperuntukkan sebahagiannya untuk program transisi pergerakan belia, dan Jawatankuasa Pelan Transisi Belia wajib diaktifkan semula bagi memantau pelaksanaan Transisi ini berlaku dan berjalan dengan baik. Jawatankuasa tersebut harus melaporkan perkembangan di setiap peringkat samada pertubuhan belia tunggal, mahupun pertubuhan belia cawangan dan gabungan dibawah Majlis Belia Daerah, Majlis Belia Negeri mahupun MBM.
Satu laporan penuh hendaklah dibentangkan pada akhir tahun ini untuk melihat keberkesanan dan pelaksanaan transisi dan sekiranya masih belum mencapai tahap yang memuaskan, MBM menuntut pelaksanaan transisi had umur ini dikaji semula sepertimana janji YB Menteri Belia & Sukan sebelum ini, YB Hannah Yeoh. Kajian semula had umur ini bukanlah satu benda yang unik untuk Malaysia sekiranya dilaksanakan, negara jiran iaitu Singapura sudahpun mengubah had umur belia dari 30 tahun kepada 35 tahun disebabkan pelaksanaan bawah 30 tahun dilihat tidak berjaya. KBS juga seharusnya bersedia untuk melihat semua pelaksanaan transisi ini sepertimana yang dilaksanakan Singapura sekiranya terbukti secara data dan statistik bahawa dasar umur 30 tahun ini terbukti tidak dapat mencapai hasrat yang sepatutnya.
KBS juga harus meraikan perbezaaan pandangan yang wujud berkaitan had umur ini khususnya pandangan dari Kerajaan Negeri. Kita perlu menerima hakikat bahawa lain negeri, berlainan juga masalah yang dihadapi belia serta cara menyelesaikannya. Kita tidak seharusnya mengambil pendekatan ‘one size fits all’ didalam satu satu perkara, sebaliknya menangani sebarang isu itu sesuai dengan keadaan dan cara setempat.
Isu belia di Sabah sudah tentu tidak boleh disamakan dengan isu belia di Kuala Lumpur dan sebaliknya. Sosioekonomi yang rencam didalam Malaysia ini seharusnya menjadi penentu dan indikator utama kepada KBS sebelum pelaksanaan sebarang dasar yang memberikan kesan yang mendalam kepada pembangunan
belia. Begitu juga dengan persatuan yang terdiri daripada lebih 9000 persatuan belia berdaftar dibawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). Persatuan belia yang mewakili kaum atau kelompok minoriti tidak boleh dilayan sama seperti pertubuhan belia yang lainnya. Sebagai contoh, Majlis Belia Orang Asli tidak sepatutnya dilayan seperti pertubuhan belia lainnya kerana faktor yang pastinya jauh berbeza dengan yang lainnya. Oleh hal yang demikian, persatuan belia mewakili kelompok minoriti ini mesti diberi pengecualian kepada beberapa perkara sehinggalah mereka benar-benar stabil dan mampu berdiri sendiri.
Atas sebab itu, MBM memohon agar YB Menteri Belia dan Sukan, YB Taufuk Johari untuk meneliti dengan sedalam-dalamnya isu terkait ini, mengambil kira pandangan semua pihak, baik dari pertubuhan belia akar umbi, Kerajaan Negeri bahkan Titah dari beberapa Istana yang sudah menyatakan pendirian. Dan sekiranya ada
keperluan, MBM menyeru YB Menteri untuk menggunakan Seksyen 123 Akta 668 yang memberikan kuasa untuk Menteri mengecualikan mana-mana orang atau pertubuhan belia daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta ini melalui Perintah yang disiarkan Warta.
Hadirin sekelian,
PELUANG UNTUK BERUBAH: PERMULAAN UNTUK MEMBETULKAN RUMAH KITA SENDIRI
Namun pada masa yang sama, jika sebelum ini mungkin kita terlalu lama selesa dengan cara kita, maka perubahan had umur ini adalah ‘wake-up call’ sebenarnya untuk kita semua.
“Berubah atau kita akan diubah”. Change of be changed.
Saya faham dengan keprihatinan dan kegusaran saudara dan saudari sekelian di akar umbi malah saya juga berkongsi kegusaran yang sama. Ada yang melihat ini sebagai pengecilan ruang. Ada yang risau organisasi akan kehilangan anggora. Ada yang takut pergerakan belia akan menjadi lemah dan hanya menjadi lembu yang dicucuk hidungnya.
Jawapan saya untuk itu, sepertimana yang diungkap oleh Madiba Nelson Mandela;
‘It is always seems impossible until it is done.’
Seperti yang sering saya katakan, kita percaya kepada kemampuan dan kebolehan anak muda Malaysia. Saya percaya kita tidak pernah ketandusan bakat baru di dalam negara ini. Buktinya, anak muda Malaysia saban hari mengharumkan nama negara didalam pelbagai sektor dan bidang.
Dan pada masa yang sama, kita juga harus mengakui, masih banyak yang perlu kita lakukan untuk menambahbaik dan memperbaiki rumah kita ini. Kita harus mengakui kelemahan kita sendiri dan mengakui ada kekurangan didalam pergerakan kita. Sepertimana yang dikatakan dalam watak Will Mcavoy di dalam siri drama
Newsroom, ‘The first step in solving a problem is recognising there is one’.
Langkah pertama di dalam menyelesaikan masalah ialah kita harus mengakui bahawa wujudnya masalah itu.
Kita harus sedia menerima hakikat bahawa zaman sudah berubah dan kita perlu berubah. Kita wajar melihat pindaan Akta 668 sebagai waktu paling tepat untuk kita melakukan ubah suai didalam rumah kita ini walau apa pun keputusan berkenaan pindaan Akta 668 ini. Sudah tiba masanya untuk kita melihat kembali gerak kerja dan cara kita mengurus pergerakan kita serta menuntut untuk kita melakukan reformasi dalam gerakan kita. Kita mesti bergerak ke tahap baru.
Pertama, tadbir urus dan ketelusan dikalangan persatuan dan pertubuhan belia harus dipertingkatkan. Tatakelola dan piawaian harus kita bangunkan untuk semua badan gabungan MBM supaya selaras dan menonjolkan profesionalisme pertubuhan belia.
Kedua, pergerakan belia, kita semua tidak lagi boleh bersifat eksklusif. Zaman MBM hanya untuk pertubuhan belia tertentu sudah tamat. MBM harus bersedia untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada pergerakan atau pertubuhan belia yang berminat untuk menyertai keluarga besar kita. Dengan cara itu, MBM akan dilihat lebih inklusif serta mewakili lebih ramai segmen belia dalam negara kita. Tiada lagi suara-suara sumbang dari pihak yang skeptik dengan kita apabila cuba menafikan MBM dan badan badan gabungannya apabila mengatakan MBM dan badan badan gabungan MBM mewakili tidak lebih dari 5% pun dari golongan belia negara. Kebenaran itu pahit perlu kita telan namun itulah kebenarannya dan kita harus bergerak segera memastikan MBM dan seluruh badan gabungannya terus relevan dalam negara ini.
Saudara & Saudari sekelian,
CABARAN ANAK MUDA MALAYSIA
Cabaran untuk anak muda Malaysia kini jauh berbeza dengan cabaran yang dihadapi mereka bukan lagi berbentuk konvensional, malah radikal. Kalau dahulu, dunia di definisikan dengan terma VUCA (Volatile, Uncertain, Complex, Ambiguous) yang diperkenalkan oleh tentera Amerika pasca Perang Dingin, tapi dunia sudah
mula beralih kepada BANI (Brittle, Anxious, Nonlinear, Incomprehensible), yang diperkenalkan oleh Jamais Cascio, seorang ahli antropologi dan seorang futuris khusus menggambar dunia pasca Covid-19.
Brittle (Rapuh) ialah kefahaman bahawa dunia dan sistem yang kita alami ini amat rapuh disebabkan faktor faktor yang boleh dijangka mahupun tidak boleh dijangka. Anxious (cemas) ialah kurangnya kepercayaan kepada sistem sedia menyebabkan manusia merasa mudah cemas dan tidak percaya kepada sistem. Non-Linear (Tidak Linear) bermaksud dunia tidak lagi bergerak secara seragam dan keputusan mungkin tidak sama seperti diharapkan. Manakala Incomprehensible (Sukar Difahami) merujuk kepada kesukaran untuk memahami betapa kompleks kehidupan moden yang dialami ketika ini. Kemajuan teknologi, ekonomi dan pasaran yang bergantung satu sama lain dan dinamika politik global yang terlalu pesat menyebabkan dunia dan anak muda sekarang tidak dapat mengejar kepesatan yang berlaku.
Manakala Forum Ekonomi Dunia pula baru sahaja mengeluarkan Global Risks Report 2026 di Davos pada 15 Januari yang lepas dimana telah mengenalpasti 10 risiko utama dunia yang mungkin akan menggangu gugat dunia. Konfrontasi geo-ekonomi kini menjadi risiko global paling besar, ketika persaingan geopolitik semakin sengit, mencerminkan persaingan kuasa besar dan pemersentajaan ekonomi sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Amerika Syarikat. Separuh daripada responden menjangkakan dunia akan berada dalam keadaan bergolak atau bergelora dalam tempoh dua tahun mendatang, meningkat 14% berbanding tahun lalu,
manakala hanya 1% menjangkakan keadaan global yang tenang.
Maklumat palsu dan salah maklumat (misinformation and disinformation) pula berada di kedudukan kedua dalam unjuran kedua, dan ketidakselamatan siber di tempat keenam, mencerminkan kebimbangan mendalam terhadap implikasi AI keatas kehidupan sehari hari manusia, selain pasaran buruk, kestabilan sosial dan keselamatan.
Hadirin sekelian,
Manakala dalam negara pula, penyakit 3 serangkai terus menghantui belia kita, iaitu ekonomi, sosial serta psikologi. Kadar penggangguran belia berumur antara 15-24 tahun dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sekitar 10.1% pada November 2025, melibatkan 297,900 belia yang juga boleh kita letakkan didalam kategori belia NEET (Not in Employment, Education or Training). Untuk kelompok yang lebih luas, belia berumur 15-30 tahun mencatatkan kadar penggangguran sekitar 6.1%. Angka ini bukanlah statistik kosong, ini adalah potensi dan bakat negara yang tidak dimanfaatkan dan tidak digerakkan.
Manakala statistik graduan menunjukkan peningkatan 5.98 juta pada tahun 2024, dan kadar pengangguran graduan dilaporkan menurun kepada 3.2%. Kita mengalu-alukan penurunan kadar penggangguran di kalangan para graduan belia kita, namun kita juga berhak untuk bertanya, apakah kerja yang mereka jalankan sekarang bersesuaian dan berpadanan dengan taraf pendidikan mereka atau maksud lainnya underemployment? Berapa ramai yang terperangkap dalam kerja sementara, atau gig?
MBM memperjuangkan pekerjaan yang bukan hanya semata-mata pekerjaan, sebaliknya yang dituntut ialah pekerjaan bermaruah. MBM juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah berjaya mewartakan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) pada suku ketiga tahun 2025 yang telah memberi pelindungan dan hak, kebajikan dan perlindungan sosial kepada pekerja gig.
Tuntutan seterusnya dari MBM ialah gaji yang lebih bermaruah khususnya untuk belia yang berada di Lembah Klang. Kebanyakan negara maju bahkan banyak negara jiran menetapkan gaji minimum bukanlah secara nasional sebaliknya berdasarkan anggaran kos sara hidup setempat. Gaji minimum RM1700.00 mungkin mencukupi untuk belia yang tinggal di Tawau, Sabah atau mereka di Gua Musang, Kelantan tapi hampir mustahil untuk mereka yang bekerja di Kuala Lumpur mahupun bandar-bandar utama yang lain. Untuk belia di Kuala Lumpur, mereka perlu mendapatkan dan memperoleh sekurang-kurangnya RM3,000.00 untuk menjalani kehidupan yang selesa atau mereka boleh dikategorikan sebagai miskin bandar.
Untuk itu, MBM mencadangkan Akta Gaji Minimum dirombak dan melihat pelaksanaan gaji minimum seperti yang dilaksanakan banyak negara lain, iaitu gaji yang berdasarkan kos sara hidup di kawasan berkenaan dan bukan hanya disamakan di seluruh negara tanpa mengira faktor faktor lainnya.
Sidang Perwakilan sekelian,
Kita sedang menyaksikan satu paradoks yang besar. Belia hari ini hidup dalam dunia yang paling canggih teknologinya tetapi paling rapuh kestabilan emosinya. Jonathan Haidt dalam bukunya The Anxious Generation mengingatkan kita bahawa generasi belia hari ini membesar dalam dunia yang amat melindungi mereka
secara fizikal, tetapi gagal melindungi mereka secara emosi dan psikologi. Kita telah beralih daripada zaman play-based childhood kepada phone-based childhood, daripada dunia yang melatih daya tahan, kepada dunia yang memupuk perbandingan tanpa henti dan keresahan berterusan.
Maka kita tidak boleh lagi menyalahkan belia dan Gen Z apabila mereka cemas. Keresahan generasi muda hari ini bukan kelemahan peribadi, ia adalah simptom kegagalan struktur sosial dan digital yang kita bina selama ini. Kegagalan itu sebenarnya berpunca dari kita semua. Jika kita terus menuntut belia supaya lebih kuat, tanpa membetulkan sistem yang melemahkan mereka, maka kita sebenarnya mengalihkan tanggungjawab negara kepada generasi muda ini.
Ahli sosial Byung Chul Han dalam bukunya The Burnout Society pula mengingatkan kita bahawa masyarakat masakini tidak lagi menindas manusia dengan paksaan kasar, tetapi dengan paksaan halus- paksaan untuk sentiasa menekan diri sendiri untuk lebih baik yang keterlampauan.
Dalam masyarakat ini, kegagalan tidak lagi dilihat sebagai proses pembelajaram, tetapi sebagai kegagalan moral. Belia akhirnya bukan ditindas oleh orang lain tetapi menindas dirinya sendiri. Kita sedang melahirkan generasi yang bekerja keras, tetapi hidup dalam keletihan berpanjangan. Ini sebenarnya bukan kerana belia kita
lemah, Ini kerana sistem kita yang menuntut terlalu banyak tetapi memberi terlalu sedikit ruang untuk menjadi manusia.
Ini semua antara masalah kesihatan mental yang semakin menjadi jadi dikalangan warga Malaysia, bukan hanya belia. Malah kajian yang dilakukan oleh IYRES dalam laporan Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 menunjukkan kesihatan mental belia Malaysia masih mencapai tahap memuaskan namun masih jauh dari baik. Atas sebab itu, MBM yang sebenarnya lebih awal memperjuangkan isu kesihatan mental ini dari yang lain akan memberikan fokus kepada kesihatan mental tahun ini sepertimana yang telah dilaksanakan sebelum ini melalui program Take5 yang pernah dijalankan dahulu.
Sidang Perwakilan sekelian,
LITERASI POLITIK DAN PENDIDIKAN POLITIK BELIA
Sepertimana yang kita semua sedia maklum, tahun ini tahun yang akan menyaksikan kemungkin berlakunya Pilihanraya Negeri malah gendang Pilihanraya Umum mula dipalu secara perlahan-lahan. Pertamanya, inginkan saya sebut pendirian MBM kekal iaitu MBM akan tetap menjadi satu badan bersifat dan bersikap non-partisan dan menyokong kerajaan memerintah (government of the day) tanpa mengira dari mana parti sekalipun. MBM akan terus dengan prinsip :
‘MBM tidak kemana mana, tetapi ada dimana-mana.’
Prinsip yang mana menetapkan bahawa MBM tidak akan menyebelahi mana mana parti politik, namun kekal menjadi kilang melahirkan pemimpin untuk semua parti politik didalam negara sepertimana peranan dan fungsi yang telah MBM mainkan sejak sekian lama.
Dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar, literasi politik belia menjadi satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan. Russel J Dalton dalam bukunya The Good Citizen: How a Younger Generation is Reshaping American Politics menunjukkan bahawa belia yang memiliki literasi politik yang tinggi lebih cenderung untuk terlibat secara konstruktif dalam proses demokrasi.
Untuk itu, bagi mempersiapkan belia kita untuk menghadapi pilihanraya yang bakal tiba, juga menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, MBM akan menggerakkan semula Sekolah Politik MBM yang pernah kita laksanakan dahulu sebanyak 3 siri dan akan bermula tidak lama lagi. Diharapkan dengan pelaksanaan Sekolah Politik MBM ini, dapat memberikan pencerahan kepada anak muda Malaysia tentang politik, demokrasi serta menjalankan hak mereka sebagai warganegara Malaysia dengan baik.
Sidang hadirin sekelian,
Sepanjang 2025, 363 program sudah dilaksanakan oleh MBM meliputi program program profil seperti Hari Belia Negara, Majlis Perundingan Belia Negara mahupun program dibawah Rakan Muda. Kita juga terus turun ke akar umbi melalui program Reach Out untuk mendapat pandangan serta mendengar sendiri masalah di akar umbi.
Kita telah berjaya melibatkan lebih 103,715 belia untuk terlibat sama dalam semua program MBM sepanjang tahun 2025 dengan peruntukkan dana RM7,544,400 yang kita terima daripada YAB Perdana Menteri, KBS dan agensi lainnya. Untuk itu, MBM mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim yang terus menerus memberikan kepercayaan kepada MBM dalam menggerakkan belia Malaysia.
Semua ini adalah hasil dari kerjasama erat antara MBM dan kalian semua selaku pemegang taruh dan pemilik sebenar MBM. Tahun 2026 ini, kita mengharapkan program yang lebih berimpak kepada belia kita di semua peringkat. Kerjasama dari anda semua amat kami harapkan dan tagihkan.
Percayalah, MBM akan terus memastikan suara anak muda Malaysia terus didengari dan dipertahankan tanpa rasa takut dan gentar, dan MBM akan terus memastikan pergerakan belia kekal relevan didalam pembangunan negara ini.
Dengan kesatuan fikrah dan tindakan, kita mampu menjadi pemacu kestabilan dan kemajuan negara. Semoga segala keputusan yang diambil diberkati dan memberi manfaat pada generasi akan datang.
Selamat Berkhidmat dan Terus Bekerja Bersama Dari Belia, Kepada Belia, Untuk Belia.
Menggerak Belia! Menggerak Belia! Menggerak Belia!
Selamat Bersidang!