MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tunas Madani Fasa 1 Melabuh Tirai di Pulau Langkawi

LANGKAWI 21 Sep – Program Tunas Madani 30: Transisi Kepimpinan Belia melabuhkan tirainya dengan penuh bermakna selepas menutup siri ke-8 di Pusat Latihan Kenegaraan (PLK) Langkawi yang berlangsung selama tiga hari dua malam.

Siri terakhir ini mencatatkan penyertaan tertinggi seramai 102 peserta, majoritinya terdiri daripada pemegang jawatan dan ahli persatuan belia daripada Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, selain penyertaan wakil MIYC, Pengakap, ABIM serta GPMS.

Sepanjang di sini, peserta diasah dengan Teknik dan kemahiran memimpin, mengenali potensi diri, menanam jati diri dan keyakinan, menjadi pemimpin yang baik termasuk pengisian rohani dan jasmani.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Khairul Azman Abdul Azeez yang dalam ucapannya mengingatkan para belia agar tidak pernah berhenti menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran, khususnya dalam dunia yang kini dipacu oleh kepesatan teknologi serta kecerdasan buatan (AI).

“Jangan rasa malu untuk belajar perkara baharu dalam diri. Program TM30 ini contohnya, amat signifikan dalam melahirkan pelapis kepimpinan persatuan belia masa depan dan anda perlu ambil peluang ini” tegas beliau.

Pada majlis tersebut, turut diumumkan penerima Anugerah Peserta Terbaik iaitu Muhammad Farhan Akmal dan Nurhazira Umairah. Manakala kategori Ikon Karisma disandang oleh Muhammad Aiman Izahar, dan Ikon Perpaduan diberikan kepada Aghilan Bala Superminam.

Bagi kategori Kumpulan Terbaik, tempat pertama dimenangi Kumpulan 3, diikuti Kumpulan 10 (kedua) dan Kumpulan 5 (ketiga).

Program ini merupakan anjuran MBM dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bertujuan menyediakan pelapis kepimpinan belia, selaras dengan pindaan Akta 668 yang menetapkan had umur belia di bawah 30 tahun mulai 2026.

MBM turut merakamkan penghargaan kepada AKM atas penyediaan tempat dan fasiliti terbaik sepanjang program serta barisan tenaga pengajar (trainers) yang diketuai Sdr. Hasnul Fairuz yang sentiasa komited mencurahkan ilmu kepimpinan demi melahirkan generasi belia berkualiti.

Dengan berakhirnya Siri 8 ini, Tunas Madani 30 kini bersedia melangkah ke Fasa 2.

Nantikan!

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »