SEPANG 20 Julai – Seramai 96 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk Majlis Belia Negeri Perak, Majlis Belia Hindu (Malaysian Hindu Youth Council), Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta pelajar institusi pendidikan telah menyertai Program TUNAS MADANI 30 (Siri 4) yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Latihan Kenegaraan Tanjung Rhu, Selangor.
Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia ini bertujuan mengasah potensi kepimpinan belia serta melahirkan generasi muda yang berwibawa, berdaya tahan dan mampu menjadi pemimpin masa depan negara.
Istimewa dalam siri kali ini, Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid hadir menyampaikan amanat dan harapan kepada para peserta dalam majlis penutup program.
Turut hadir Encik Mahadzir Abd Majid, wakil Pengarah Akademi Kenegaraan Negeri Selangor; Sdr. Ahmad Farhan Rosli, Setiausaha Agung MBM; Sdr. Kishore Kumar; Penolong Ketua Penerangan MBM; Sdr. Syahir Razak dan Sdri. Nuriffah Atiqah selaku Exco MBM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pembangunan Bakat MBM.
Dalam ucapannya, Presiden MBM menyeru para peserta agar melibatkan diri secara aktif dalam pertubuhan belia berdaftar di bawah MBM bagi memperkukuh jaringan, pengalaman serta melatih kemahiran kepimpinan secara berstruktur.
“Besar harapan saya agar adik-adik semua mampu menggalas tanggungjawab sebagai ‘agen perubahan’ dan penyambung legasi kepimpinan belia apabila pelaksanaan Akta had umur belia bawah 30 tahun dikuatkuasakan kelak,” ujar beliau.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian seperti latihan kepimpinan, pengurusan diri, kemahiran menangani cabaran, aktiviti lapangan dan riadah, serta sesi Borak TM30 yang menampilkan tokoh belia dalam perkongsian pengalaman dan inspirasi.
Terima kasih barisan trainer yang sentiasa bersemangat dan semua peserta yang luar biasa! Anda semua adalah pemimpin masa depan yang kami banggakan!
Dengan gabungan aktiviti ilmu, aksi lapangan dan semangat kerjasama, peserta membuktikan bahawa belia Malaysia bersedia memimpin masa depan!
Terima kasih semua yang menjayakan program ini. Jumpa lagi dalam siri seterusnya!















































































