ORENBURG 29 Sep – Dari 23 hingga 29 September 2024, Eurasia Global Forum ke-9 telah berlangsung di Orenburg, Russia. Forum yang pertama kali dianjurkan pada 2016 ini menjadi platform penting dalam membina kerjasama antara belia dari seluruh dunia.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Sdr. Dhanesh Basil, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa MBM, bersama Sdr. Syahmi Shamsudin dari Sekretariat MBM, hadir ke forum ini dengan misi menubuhkan Kelab Persahabatan Malaysia – Primorsky Krai.
Untuk makluman, Primorsky Krai adalah satu-satunya wilayah di Rusia yang ditugaskan untuk menjaga dan menaja Malaysia secara rasmi semasa World Youth Festival 2024 yang diadakan pada Mac lalu.
Mengikut garis masa yang ditetapkan Pengarah WYF, Daniil Bislinger, setiap negara perlu mengeratkan hubungan rasmi dengan wilayah yang terlibat melalui penubuhan Kelab Persahabatan atau ‘Friendship Club’. Sepanjang minggu forum ini, delegasi Malaysia terlibat dalam libat urus untuk menyusun piagam Kelab Persahabatan dan merangka beberapa program strategik.
Dengan penuh rasa bangga, kami mengumumkan bahawa Malaysia kini secara rasmi telah berjaya menubuhkan Kelab Persahabatan Malaysia – Primorsky Krai (Vladivostok). Wakil belia Primorsky Krai, Daniil, menyatakan bahawa kedua-dua Malaysia dan wilayah tersebut berkongsi simbol penting-harimau. Vladivostok terkenal dengan populasi terbesar “Harimau Siberia” (Amur Tiger), yang juga pernah disumbangkan kepada Malaysia dalam usaha melestarikan “Harimau Malaya”. Melalui persamaan ini, beberapa program kerjasama telah dirangka dan akan diumumkan tidak lama lagi.
Sebagai simbolik perasmian hubungan ini, sebuah buku bertajuk “Anwar Ibrahim: Tenacious in Dissent, Hopeful in Power” telah dihadiahkan kepada wakil Primorsky Krai, melambangkan ikatan persahabatan antara kedua-dua belia negara.
Ucapan terima kasih kami tujukan kepada Darya, wakil penganjur dari Direktorat World Youth Festival, yang telah bertanggungjawab menguruskan delegasi daripada Asia sejak penganjuran Mac lalu.
Spasiba!