BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan
Salam Keluarga Malaysia
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
- Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin
dan kurnia-Nya dapat kita menjayakan Majlis Sambutan
Hari Belia Negara 2021 (atau HBN2021) anjuran
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara fizikal dalam
norma baharu pada hari ini. - Sambutan pada kali ini yang bertemakan ‘Dekad ini, Dekad
Anda’, meneruskan legasi HBN sebelumnya, menjadi
pendorong kepada generasi belia Keluarga Malaysia
supaya lebih bersemangat dan komited dalam merencana
kepimpinan masa depan. - Acara ini merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap
sumbangan, komitmen, kecemerlangan dan daya usaha
seluruh warga belia. Andalah yang membentuk hampir 68%
populasi tenaga kerja negara, anda jugalah yang mewakili
hampir 47% daripada keseluruhan populasi Keluarga
Malaysia. - Oleh sebab itu, kerajaan hari ini mengambil pendekatan
Bekerja Bersama Rakyat, lantaran peranan penting yang
dimiliki belia dalam menentukan kejayaan setiap agenda
pembangunan negara.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
MEMPERSIAP DIRI MENERIMA PERUBAHAN
- Kerajaan sebelum ini telah meminda Akta Pertubuhan Belia
dan Pembangunan Belia 2007 (yang dikenali sebagai Akta
668) dengan menurunkan julat usia belia daripada 15 hingga
40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun. - Pada 2019 pula, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 119)
turut dipinda bagi membolehkan had umur mengundi
diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran
pemilih secara automatik dilakukan. - Ia bakal meningkatkan bilangan pengundi muda yang
berumur 30 tahun ke bawah iaitu dengan anggaran seramai
3.9 juta orang sehingga 31 Disember 2021. - Daripada jumlah itu, mereka yang berumur 18 hingga 20
tahun adalah dianggarkan seramai 1.3 juta orang. Dua
pindaan besar itu bakal menjadi penanda aras baharu dalam
kepimpinan negara dan transisi kepimpinan warga belia. - Untuk itu, para pemimpin belia sedia ada, perlu
menyediakan pemimpin pelapis yang berkaliber, sekali gus
mempersiapkan diri mendepani cabaran kepimpinan negara
yang lebih luas setelah melepasi had usia seperti ditetapkan.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
KEBERSAMAAN DALAM MENGHADAPI CABARAN
- Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kerajaan
menyedari peningkatan angka penglibatan warga belia
dalam industri pendigitalan dan perkhidmatan menerusi
ekonomi-gig. - Sumber pendapatan dipelbagaikan menerusi perkhidmatan
e-hailing dan p-hailing juga semakin menarik minat warga
belia Keluarga Malaysia menceburi sektor ini. Secara
langsung, langkah ini telah membantu mengurangkan angka
pengangguran ekoran pandemik. - Seiring itu, kerajaan menerusi KBS telah memperkenalkan
Skim Perantisan Nasional bagi menangani isu
pengangguran dalam kalangan belia. Sehingga kini, sekitar
7 ribu belia daripada lebih 11 ribu yang menyertainya telah
mendapat pekerjaan. - Kerajaan akan terus merancakkan penyediaan infrastruktur,
perkhidmatan digital dan pasaran kerjaya kepada seluruh
Keluarga Malaysia, khususnya warga belia. Inisiatif ini
dikenal pasti berupaya merapatkan jurang digital dan
merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi semasa.
BERSAMA MEWUJUDKAN MASYARAKAT 5.0
- Seluruh cabaran yang dihadapi ini bertujuan menyegerakan
kewujudan Masyarakat 5.0 di negara kita iaitu sebuah
masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya
dan alam fizikal. Peranan belia dalam usaha mewujudkan
Masyarakat 5.0 bermula daripada keperibadian setiap belia. - Wajar diingatkan bahawa Masyarakat 5.0 yang dihasratkan
negara bukanlah semata-mata generasi yang pintar
mengendali dunia digital, tetapi bijak juga beradaptasi.
Teknologi perlu berperanan sebagai nilai tambah kepada
entiti murni bidang agama, budaya, adat resam dan adab
santun Keluarga Malaysia. - Saya berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan warga belia
dalam menyahut cabaran ini, lantaran data menunjukkan
sebilangan besar telah pun berada di tahap Belia 4.0. Pada
tahap ini, belia sudah berfikiran analitikal, berpendekatan
inovatif, berkemahiran teknologi dan menekankan budaya
kreatif.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
MELESTARIKAN KESEJAHTERAAN MENTAL
- Kerajaan akan terus meningkatkan semangat
kesukarelawan dan melestarikan kesejahteraan mental
pada era pasca pandemik ini. Misalnya, ialah kempen
Mental Health Matters dan melalui program Rakan Muda
Comfort Room serta Young Mind yang mensasarkan lebih
1000 Kaunselor Muda sebagai pelatih. - Program yang mendapat kerjasama NGO ini menyediakan
pelbagai platform khidmat emosi dan intervensi kepada yang
memerlukan. Seramai lebih 320 ribu warga belia telah
menjadi sukarelawan kepada Malaysia Vaccine Support
Volunteers, manakala hampir 6 ribu lagi membantu
pematuhan SOP bagi program Rakan Muda Sports Bubble. - Bersempena itu, sukacita dimaklumkan bahawa satu Model
Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB) bakal
dilancarkan pada Mac 2022. Ia bertujuan mempergiat usaha
membangunkan belia secara berterusan sekali gus
melahirkan Masyarakat 5.0. - Ia akan dibangunkan berdasarkan kepada aspirasi dan
suara anak muda untuk pemerkasaan belia bagi tempoh 10
tahun ke hadapan.
- Apabila dilaksanakan kelak, MBPB2030 ini bakal memberi
manfaat kepada golongan belia termasuk dalam
meningkatkan sosioekonomi melalui peluang dan
penciptaan pekerjaan, pendidikan dan kemahiran masa
depan. - Selain itu ia akan memperkukuhkan lagi sistem sokongan
belia khususnya hubungan dengan keluarga, masyarakat
dan agensi kerajaan dalam usaha melahirkan warganegara
belia yang lebih yakin dan aktif selain berdaya tahan
menghadapi cabaran.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi, - Walaupun dalam majlis sambutan pada hari ini, seramai
enam individu akan menerima Anugerah Perdana Belia
Negara 2021, sebenarnya kita memiliki ramai lagi warga
belia yang membanggakan negara. - Namun sepanjang usaha mengejar kecemerlangan, suka
saya memetik pesanan cendekiawan lama: “Sehelai
halaman kitab tidak pernah menjadikan seseorang itu
sebagai ulama. Pada banyak perkara, hidup ini memerlukan
usia”.
- Justeru pada setiap ketika, warga belia perlu merujuk
kepada yang lebih berpengalaman sebelum bertindak. Inilah
amalan generasi belia terdahulu sebelum mereka menikmati
kejayaan hari ini. - Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya
merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2021.
Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.