- Alhamdulillah, pertama sekali, marilah kita bersama – sama memanjatkan penuh rasa kesyukuran, atas keizinan Allah SWT, kita dapat berkumpul pada hari ini untuk meraikan sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan bagi tahun 2021 dengan temanya “Dekad Ini Dekad Anda”.
- Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan ini adalah anjuran bersama Majlis Belia Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan. Bagi pihak Team KBS dan seluruh warga belia, saya ingin mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di atas kesudian meluangkan masa hadir ke majlis petang ini. Saya mewakili Team KBS juga mengalu-alukan kehadiran rakan ahli-ahli Jemaah Menteri yang turut bersama-sama pada petang ini.
- Tidak lupa juga kepada semua pemimpin dan warga belia, baik yang hadir secara fizikal, mahupun yang mengikuti sambutan ini secara maya. Terima kasih kepada semua pertubuhan belia yang merupakan rakan strategik kepada KBS, khasnya Majlis Belia Malaysia dan pertubuhan-pertubuhan belia baik di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan NGO belia lain yang sentiasa bersama – sama kerajaan dalam membangun dan memperkasakan belia di negara ini.
Para Belia, Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
- Untuk makluman Yang Amat Berhormat Dato’ Seri dan semua hadirin, program yang dianjurkan bersempena Hari Belia Negara ini telahpun dilaksanakan bermula pada 15 Mei 2021 yang lalu. Sehingga hari ini, sebanyak 128 buah program telah dilaksanakan dengan penglibatan daripada 150 agensi berkaitan selaku rakan strategik.
- Saya dan Yang Berhormat Senator Dato’ Sri Li Tian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan Yang Berhormat Senator Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal di atas perancangan dan pelaksanaan sambutan Hari Belia Negara yang dimulakan pada bulan Mei yang lalu.
Belia, Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
- Saya mewakili Team KBS dan seluruh warga belia menyambut baik konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri di mana pelancaran rasmi telah disempurnakan pada 23 Oktober 2021 yang lalu. Sebagai Keluarga Malaysia dari pelbagai latar belakang agama, kepercayaan, bangsa, budaya dan peringkat umur, amatlah penting untuk kita memfokuskan kepada persamaan dan menggembleng tenaga bersama memulihkan semula ekonomi negara dan merealisasikan matlamat Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12).
- Dalam tempoh pandemik ini, aspirasi Keluarga Malaysia telah disambut dengan penglibatan aktif daripada kelompok anak muda, baik secara individu mahupun dalam persatuan. Saya ingin menyeru belia untuk bersama-sama kerajaan berganding bahu membangunkan kembali ekonomi negara. Kita kukuhkan persamaan dan kita raikan perbezaan masyarakat pelbagai kaum yang telah menjadi tunjang sejak sekian lama. Kitalah Keluarga Malaysia.
Belia, Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
- Saya ingin menarik perhatian semua kepada amanat sulung Yang Amat Berhormat Dato’ Seri selepas pelantikan sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021. YAB Dato’ Seri menegaskan akan terus mendengar suara dan idea segar daripada anak muda. Mereka juga akan dilibatkan dalam kerajaan bagi menjayakan agenda besar pemulihan negara. Saya yakin dan percaya golongan belia sangat gembira dengan amanat sulung tersebut. Apatah lagi hasrat tersebut datangnya daripada pemimpin nombor satu negara yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan. Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.
- Saya secara peribadi yakin suara belia akan didengari dan diambil peduli dalam memajukan negara. Di peringkat kementerian, sememangnya telah sedia ada platform untuk generasi muda menyuarakan idea. Program Parlimen Belia Malaysia umpamanya adalah satu platform yang sangat baik untuk mengetengahkan belia dengan proses pembuatan sesuatu dasar, politik dan pembangunan negara. Menerusi Parlimen Belia Malaysia, belia dapat meningkatkan pengetahuan sistem berparlimen, proses pembentukan rang undang-undang dan berpeluang terlibat secara langsung dalam perbahasan untuk mengenal pasti isu dan trend belia semasa.
- Program Felo Perdana pula menyediakan platform kepada belia yang membolehkan belia menyumbangkan buah fikiran dan pandangan mereka secara terus kepada Ahli Jemaah Menteri. Program Felo Perdana juga memberikan pendedahan mengenai pengurusan dan sistem pentadbiran kerajaan. Penglibatan belia dalam program ini memberi peluang kepada mereka melibatkan diri dalam perancangan dan penggubalan dasar kerajaan. Penglibatan belia dalam platform ini membolehkan mereka berkongsi pemikiran dan aspirasi untuk panduan kepada kerajaan merangka inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada golongan belia.
- Selain inisiatif yang sedia ada, saya sendiri pernah menghadiri sesi perkongsian idea bersama anak-anak muda menggunakan platform media sosial. Anak-anak muda sekarang sememangnya matang dan berani menyampaikan pandangan serta idea yang begitu meyakinkan. Saya bersama YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan sangat mengalu-alukan pandangan daripada golongan muda yang mana kami di kementerian dapat jadikannya sebagai input perancangan inisiatif dan polisi baharu. Platform ini adalah medium terbaik untuk golongan muda mencatur masa hadapan negara bersama kerajaan.
Belia, Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
- Saya berbangga dengan penglibatan golongan muda yang menghulurkan tangan, menyumbang tenaga dan masa mereka untuk berbakti kepada negara dan masyarakat semasa pandemik COVID-19. Seramai 324,014 orang belia telah menunjukkan minat untuk terlibat sebagai sukarelawan MyVac, manakala seramai 5,730 orang lagi menjadi sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble membantu pematuhan SOP sukan dan rekreasi. Sumbangan golongan belia membantu misi bencana semasa banjir kilat di Muar, Johor, Yan, Kedah, Rembau Negeri Sembilan dan Melaka di mana mereka terlibat sebagai sukarelawan dan menjadi penggerak segala inisiatif; misi bantuan makanan asas, bantuan penyebaran maklumat, bantuan logistik dan pemindahan barangan serta pembersihan rumah.
- Dalam semangat menjayakan agenda Keluarga Malaysia, KBS berhasrat untuk menggerakkan setiap isi rumah agar mempunyai sukarelawan yang diberikan kemahiran. Keutamaan adalah kompetensi untuk menangani isu kekeluargaan, seperti masalah kesihatan mental. Begitu juga dengan kompetensi yang berkaitan dengan pengurusan bencana. Ini adalah latihan dan kemahiran yang ditumpukan di bawah Sukarelawan Belia Nasional atau ringkasnya BENA. Di bawah konsep BENA, mana-mana sukarelawan belia yang sedang dan pernah terlibat dengan kerja-kerja kesukarelawanan dapat terus dibimbing dan diselia dengan baik oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara. BENA bertanggungjawab untuk menggembleng belia sebagai penggerak kepada kegiatan kesukarelawanan di pelbagai peringkat dan membantu agensi lain dalam pengurusan bencana serta menyediakan tenaga sukarelawan terlatih dan berdisiplin pada bila-bila masa diperlukan, termasuk membantu pemerkasaan komuniti dalam mendepani endemik nanti.
Belia, Hadirin Hadirat yang dihormati sekalian,
- Saya menyeru supaya platform digital dan media sosial dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh belia kita. Kita memerlukan belia yang matang, pintar teknologi dan kukuh adab dan kesopanannya. Salah satu dari platform yang boleh menyerlahkan potensi sedia ada adalah melalui aktiviti berpersatuan. Penglibatan dalam aktiviti berpersatuan seperti terlibat dalam program Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dapat mempertingkatkan kemahiran kepimpinan, berkeyakinan dalam komunikasi, mempunyai inovasi dan kreativiti, memiliki jati diri yang terbaik dan berkualiti.
Belia, Hadirin Hadirat yang dihormati sekalian,Bilangan pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia sehingga 30 September 2021 adalah berjumlah 9,737 buah pertubuhan. Bagi membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan tadbir urus pertubuhan belia, KBS telah memperuntukkan peruntukan yang berjumlah RM7 juta untuk bantuan pentadbiran tahun 2021 kepada Majlis Belia Malaysia dan semua 145 ahli badan gabungannya.
Belia, Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
- Pihak Kerajaan sentiasa menyokong dan menghargai sumbangan golongan belia kepada pembangunan negara. Atas dasar itu, Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) diwujudkan untuk memberikan penghargaan kepada golongan belia. Pada tahun ini, APBN masih diteruskan dengan pengiktirafan kepada 5 kategori. Kategori yang dipertandingkan ialah kategori pertubuhan belia dan kategori individu (Lelaki dan Wanita).
- Bagi kategori pertubuhan belia, sebanyak 92 pertubuhan dari seluruh negara yang mengambil bahagian untuk bertanding. Penilaian mengambil kira pengurusan dokumentasi kewangan, aktiviti dan aspek kepimpinan. Pertandingan bermula di peringkat daerah di mana pertubuhan belia yang dinobatkan sebagai Johan akan bertanding ke peringkat negeri. Johan di peringkat negeri pula akan bertanding ke peringkat kebangsaan. Menerusi pengiktirafan dan penghargaan kepada pertubuhan belia ini, saya berharap ini akan menjadi satu dorongan kepada pertubuhan untuk meningkatkan bilangan ahli pertubuhan belia. Ini seterusnya berupaya meningkatkan bilangan keahlian MBM dan semua ahli gabungannya yang pada masa ini adalah seramai 1.24 juta orang.
- Pemilihan awal untuk kategori individu (Lelaki dan Wanita) juga bermula di peringkat daerah. Untuk kategori individu lelaki, seramai 206 orang telah mengambil bahagian untuk bertanding manakala kategori individu wanita pula, seramai 126 orang yang mengambil bahagian untuk bertanding. Penilaian untuk kategori individu menyentuh sumbangan dan pencapaian yang diperoleh sepanjang tempoh penilaian. Johan yang dinobatkan di peringkat daerah akan bertanding ke peringkat negeri dan Johan di peringkat negeri seterusnya dicalonkan ke peringkat kebangsaan.
- Bagi kategori Emas Remaja Perdana, keunikannya ialah penilaian dibuat ke atas pencapaian belia remaja yang berumur 15 hingga 25 tahun dan mencapai program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda. Untuk tahun ini, seramai 36 orang calon dipilih di kalangan remaja tahap emas yang dinilai hasil daripada aktiviti-aktiviti gaya hidup yang seimbang dan berterusan dalam tempoh minimum 18 bulan.
- Untuk Kategori Khas, penghargaan dan pengiktirafan adalah berdasarkan kepada pencapaian dan kejayaan belia yang berupaya memberikan inspirasi kepada belia yang lain untuk mengikuti jejaknya.
- Saya percaya pengiktirafan bagi pencapaian dan kemenangan yang diraikan pada hari ini adalah perkara yang sentiasa didambakan oleh golongan belia setiap kali Sambutan Hari Belia Negara. Menerusi Model Baharu Pembangunan Belia yang sedang diuruskan oleh KBS, antara tindakannya adalah untuk memperluaskan lagi skop Anugerah Khas yang mencakupi inovasi, kreativiti dan penerokaan kecemerlangan nilai-nilai murni belia dalam konteks Keluarga Malaysia.
Belia, Hadirin Hadirat yang dihormati sekalian,
- Saya akhiri ucapan dengan Selamat Hari Belia Negara kepada semua warga belia di negara ini. Semoga saudara-saudari terus menyerlah menjadi belia Malaysia yang berdaya saing dan aset kepada pembangunan negara.
- Terima kasih YAB Dato’ Sri. Thank you, Sir. Terima kasih semua yang terlibat dalam penganjuran Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan tahun 2021 ini.
Terima Kasih! “DEKAD INI DEKAD ANDA!”.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.