MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tegakkan hak Sabah Sarawak, tanpa melukakan Malaysia

Oleh :

Mohd Nur Helmie Milus

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

Isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak bukanlah perkara baharu dalam wacana nasional, namun ia kekal relevan dan penting untuk terus dibincangkan secara matang. Majlis Belia Malaysia (MBM) menegaskan sokongan penuh terhadap usaha memastikan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati dan dilaksanakan secara adil, khususnya bagi Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan keharmonian serta perpaduan negara.

MA63 bukan sekadar dokumen sejarah yang dirujuk dalam buku atau pidato. Ia merupakan asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan menentukan kedudukan Sabah serta Sarawak dalam kerangka persekutuan. Perjanjian ini merangkumi hak-hak penting seperti autonomi negeri, pengurusan dan kawalan sumber asli, serta representasi yang setara dalam struktur pentadbiran Persekutuan.

Pengiktirafan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa ia adalah tonggak kepada hubungan yang adil dan seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

MBM berpandangan bahawa penghormatan terhadap MA63 adalah sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan dan kesaksamaan dalam sebuah negara berbilang wilayah. Perjuangan ini tidak bertujuan untuk mengasingkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia, sebaliknya bertujuan mengukuhkan semangat setia kawan, patriotisme dan kefahaman terhadap prinsip persekutuan yang dipersetujui bersama.

Hak-hak yang dituntut oleh rakyat Sabah dan Sarawak wajar dihormati dan ditangani melalui pendekatan harmoni, diplomasi serta dialog yang membina, bukannya melalui konflik atau sentimen yang boleh meretakkan hubungan antara wilayah.

Dalam konteks pelaksanaan, MBM menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta semua pihak berkepentingan. Isu-isu yang masih belum diselesaikan, termasuk pengurusan sumber minyak dan gas serta pelaksanaan autonomi sebenar, perlu ditangani berlandaskan semangat dan kerangka MA63. Pendekatan kolaboratif ini penting bagi memastikan penyelesaian yang adil, mampan dan diterima oleh semua pihak.

Pada masa yang sama, MBM menegaskan bahawa keutuhan dan kesejahteraan Malaysia mesti kekal sebagai agenda utama. Menegakkan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63 bukanlah ancaman kepada perpaduan nasional, malah merupakan langkah yang akan mengukuhkan integrasi negara serta menyumbang kepada pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif. Perjuangan ini perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, saling menghormati antara negeri dan Kerajaan Persekutuan, seiring dengan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15.

Sebagai suara belia negara, MBM menyeru semua pihak, khususnya generasi muda di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak, agar bersama-sama menyertai usaha ini dalam semangat perpaduan, keadilan dan kasih kepada negara. Hak Sabah dan Sarawak wajar ditegakkan dan diperjuangkan dengan penuh hormat terhadap Persekutuan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Sabah dan Sarawak kekal dan akan terus kekal, sebagai sebahagian yang tidak terpisah daripada Malaysia.

Tarikh : 31 Januari 2026

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »