KUALA LUMPUR: T Tashidaran dan Amirah Mohamad Arshad masing-masing dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Belia Negara di Dataran Merdeka, di sini, malam ini.
Naib Johan bagi kategori individu lelaki dimenangi oleh Dr Ahmad Najmi Amerhaider Nuar dan menerima wang tunai RM8,000 manakala ketiga milik Dr Mohd Haikal Zakaria (RM5,000).
Tempat kedua kategori wanita pula dimenangi Nur Azreena Faizan dan ketiga pula Asmah Sulaiman.
Bagi kategori Emas Remaja Perdana pula, ia dimenangi oleh Zulkhairi Zainal Hisham yang membawa pulang RM10,000 sementara kategori Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan dimenangi oleh Faris Azim Abd Karim (RM10,000).
Majlis Belia India Malaysia (MIYC) pula memenangi kategori Pertubuhan Belia Berstatus Kebangsaan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 manakala Kategori Pertubuhan Belia pula menjadi milik Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Perak sekaligus membawa pulang RM50,000.
Semua pemenang APBN dinilai dan dipilih oleh panel penilai yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sebelum dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN.
Sambutan HBN 2025 mengekalkan tema `Belia Madani, Yakin Boleh’ dan berfokuskan kepada 15 port dengan lebih daripada 100 pengisian aktiviti bermula semalam hingga esok.
Antara pengisiain aktiviti termasuk Istimewa Run X
HBN 2025, Kerjaya MyFutureJob, Pit Stop Anak Muda HBN 2025, Pavilion Rakan Muda, Pavilion ASEAN, Asean Youth Concert serta slot perkongsian ilmu agensi Kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
Edisi sambutan HBN 2025 peringkat kebangsaan pada kali ini turut membawa kelainan dengan menampilkan elemen ASEAN dalam penganjuran selaras dengan Kepengerusian ASEAN ke-46 bagi mewujudkan semangat komuniti dalam kalangan golongan belia dengan semangat keterangkuman dan kemampanan.
Artikel penuh :