Timbalan Perdana Menteri berkata, kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini harus dilibatkan secara aktif dalam pertubuhan belia supaya suara mereka dapat didengar dan menjadi platform untuk mengasah bakat sebagai pemimpin masa hadapan.

‘‘Saya hendak ajak kawan-kawan daripada pelbagai kaum untuk turut aktif dalam persatuan belia kerana persatuan ini merupakan tapak untuk mewujudkan bakat kepemimpinan dalam organisasi.

‘‘Jangan ada Melayu sahaja. Pemimpin belia Cina, India, Kadazan dan Murut juga perlu ada. Justeru, saya sarankan MBM melihat kembali perlembagaannya supaya barisan kepemimpinannya mengikut komposisi penduduk dan etnik di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2017 di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; timbalannya, Datuk M. Saravanan; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Presiden MBM, Mua’mmar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Ahmad Zahid turut mengumumkan berita gembira iaitu penambahan peruntukan pentadbiran MBM kepada RM10 juta pada tahun ini bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti oleh pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa semua resolusi dan usul yang dikemukakan melalui Parlimen Belia dan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau turut menggesa para belia supaya mengetepikan perbezaan yang wujud dan bersama-sama menanamkan perasaan taat serta wala’ kepada negara.

“Sempena Hari Belia, saya ingin melihat semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan kita diperkukuhkan dan dipertingkatkan. Setiap polemik yang timbul seharusnya dibincangkan secara intelektual, beradab, lemah lembut dan tidak mengikut emosi semata-mata.

“Pendekatan baharu secara hikmah dan baik harus digunakan, saya harap semua belia memberikan keyakinan kepada saya dan Perdana Menteri untuk beriltizam menterjemahkan agenda belia dalam negara pada waktu terdekat ini,’’ katanya.