KENYATAAN MEDIA
MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
KEJAYAAN MALAYSIA DIPILIH SEBAGAI ANGGOTA TIDAK TETAP MAJLIS KESELAMATAN PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU
Keamanan dan Keselamatan Melalui Kesederhanaan (Peace and Security Through Moderation) telah menjadi slogan kempen Malaysia sehingga dipilih sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB untuk kali yang keempat. Pencapaian dan kredibiliti Malaysia dalam mempromosi konsep kesederhanaan telah diiktiraf oleh negara anggota PBB dengan jumlah undi yang diraih sebanyak 187 undi dari 192 negara anggota semasa sesi pengundian di New York, Amerika Syarikat pada 16 Oktober 2014. Kejayaan Malaysia dipilih sekali lagi menduduki kerusi Tidak Tetap Majlis ini telah membuktikan kewibawaan dan peranan YAB Dato’ Sri Mohd Najib b Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang mempunyai sikap serta dasar luar yang meyakinkan masyarakat antarabangsa.
Dewasa ini, dunia menerima banyak ancaman yang kompleks bukan sahaja melalui peperangan tetapi juga melalui keselamatan bukan tradisional seperti isu keselamatan makanan, jenayah rentas sempadan, dan penyeludupan manusia. Pemilihan Malaysia untuk penggal 2015-2016 ini bertepatan dengan senario semasa dunia yang memerlukan suatu inisiatif penyelesaian konflik yang tidak ekstrim. Malaysia berperanan sebagai mekanisme untuk menyeimbangkan pendirian kuasa-kuasa besar dunia dalam membuat keputusan penting berkaitan pergolakan, sekatan, peperangan dan juga perdamaian.
Pemilihan Malaysia kali ini membolehkan Malaysia untuk mempromosi konsep kesederhanaan dalam pentas global melalui pendekatan wasatiah. Wasatiah didefinisikan sebagai sederhana, seimbang dan tidak melampau. Agenda utama Malaysia adalah melahirkan masyarakat antarabangsa yang seimbang dan sederhana yang menjadikan undang-undang antarabangsa sebagai tulang belakang. Konsep ini selaras dengan kehendak masyarakat antarabangsa yang memilih dunia yang harmoni dan sejahtera serta menolak ekstrimisme.
Antara agenda yang ingin dikembangkan dalam Majlis ialah agenda kesederhanaan global, menggalakkan rundingan dalam penyelesaian konflik, memperkukuh operasi pengaman PBB, dan membantu negara-negara yang baru pulih dari konflik.
Malaysia telah membuktikan kemampuannya dalam kesemua agenda tersebut setelah berjaya menjadi pengantara antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk perjanjian damai, rundingan dengan puak pemisah Ukraine bagi mengeluarkan mayat mangsa tragedi MH17 dan dalam kesemua misi pengaman PBB yang disertai Malaysia seperti di Bosnia Herzegovenia, Lubnan dan Timor Leste.
Segulung tahniah diucapkan kepada kepimpinan negara yang diterajui YAB Dato’ Sri Mohd Najib b Tun Abdul Razak dengan gandingan Menteri Luar Y.B Dato’ Sri Anifah Haji Aman yang giat berusaha mengekalkan kemasyhuran Malaysia di pentas antarabangsa.