MAJLIS BELIA MALAYSIA

Syor gaji minimum berdasar kawasan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum berdasarkan kawasan atau tempat disyorkan persatuan belia dalam usaha menangani masalah yang membelenggu golongan itu.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata ketika ini isu paling menjejaskan golongan belia adalah ekonomi, pekerjaan selain kadar gaji bagi meneruskan kehidupan harian.

Beliau berkata, langkah kerajaan menaikkan had gaji minimum kepada RM1,500 dipuji namun dicadangkan supaya pelaksanaannya mengikut kawasan.

“Untuk RM1,500 bagi anak muda di Kuala Lumpur atau Lembah Klang masih terlalu rendah, masuk kategori miskin bandar jika gaji di bawah RM3,000.

“Jadi kerajaan disyorkan lihat kembali sistem gaji ini dengan diberikan berdasarkan tempat, gaji minimum bagi mereka di Lembah Klang wajar lebih tinggi berbanding mereka yang tinggal di bandar atau pekan kecil

“Sebagai contoh gaji minimum RM1,500 mungkin sesuai bagi yang bekerja di Kuantan atau Kota Bharu tapi tidak bagi mereka di Lembah Klang.

“Difahamkan langkah ini juga sudah dilaksana beberapa negara ASEAN seperti Filipina dan Vietnam, jadi ini adalah salah satu usaha bagi meningkatkan taraf hidup golongan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Aspirasi UMNO (WAU) 2.0 membincangkan tajuk ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’ di Auditorium UMNO di sini, hari ini.

Selain itu Mohd Izzat berkata, negara juga perlu bergerak seiring kemajuan teknologi supaya golongan muda sentiasa diperkasa dan menjadi sebahagian pembaharuan.

“Kita masih bercakap mengenai revolusi industri 4.0 sedangkan dunia mula beralih kepada 5.0, kebijaksanaan buatan, ‘blockchain’, perkomputeran awan, big data dan sebagainya.

“Latihan kemahiran ini yang wajar dilengkapkan dalam diri anak muda kita, mereka perlu sistem pendidikan yang bagus, selain itu kita mahu suara anak muda diberi perhatian kerajaan,” katanya.

Pemangku Presiden Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin pula mencadangkan supaya seorang senator dilantik daripada kalangan pemimpin persatuan belia bagi menggerakkan agenda golongan itu.

“Kalau Kementerian Kewangan boleh lantik senator daripada kalangan pakar kewangan kenapa dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak boleh dilantik seorang senator daripada kalangan pertubuhan belia yang lebih memahami kehendak kumpulan usia ini.

“Ada banyak persatuan belia tapi bila soal penetapan dasar seperti had umur belia diturunkan kepada 30 tahun, persatuan belia langsung tidak diajak berbincang atau memberi pandangan

“Kalau begitu kita cadangkan juga supaya KBS dipecah menjadi dua iaitu Kementerian Sukan dan satu lagi Kementerian Belia supaya dua-duanya seiring maju,” katanya.

Artikel penuh:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/964755/syor-gaji-minimum-berdasar-kawasan?fbclid=IwAR1Z7VLb4MQa8UskOmUp_5RZ2jhee1B5Qg3P3tmdN1hiCufrAI93fILfeSM#.YqVr68nwMv4.facebook

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »