MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sukarelawan SOKU dilancar

soku_logoPUTRAJAYA; 16 OGOS 2015: Golongan belia perlu mempunyai jati diri yang unggul dan nilai murni terpuji agar mempunyai kesedaran untuk menghormati hak golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta tampil menghulurkan bantuan dan tidak harus menghina mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Encik Lokman Hakim Ali berkata hal ini adalah kerana golongan OKU juga merupakan makhluk yang wajib diberi peluang untuk menjalani kehidupan biasa seperti manusia normal.

Beliau berucap ketika merasmikan majlis penutupan Kursus Induksi Sukarelawan Sokongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Pelancaran Sukarelawan OKU (SOKU) bertempat di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, didikan agama juga sering mengajar manusia agar berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira paras rupa, bentuk badan mereka sama ada mereka normal atau sebaliknya. Setiap individu memerlukan pengiktirafan daripada masyarakat bahawa mereka masih diterima oleh semua orang.

Beliau juga berkata, negara kita semakin maju ke hadapan, terutama ke arah merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 yang memerlukan sumbangan dan komitmen semua pihak termasuk golongan OKU untuk memberikan sumbangan kepada negara dalam menjayakan impian berkenaan.

“Kita hendaklah percaya golongan OKU juga ada peranan dan mampu memberi sumbangan bermakna andai diberi peluang dan ruang sewajarnya. Semua pihak perlu berganding bahu, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan terus tersisih dalam era pemodenan Negara menjelang tahun 2020 nanti”, katanya lagi.

Pelancaran SOKU turut disaksikan oleh Jufitri Johar, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Hj Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Penasihat Malaysian Humanitarian Movement), Prof. Dr Imran Ho Abdullah (Timbalan Naib Canselor , Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof. Dr. Ahmad Mahmud (Dekan Fakulti Farmasi, Universiti MAHSA) dan Ridzwan Shoib (Ketua Pegawai Eksekutif Murni International College).

Seramai 70 orang menjadi kumpulan perintis SOKU yang bakal memulakan projek kerja lapangan mereka bersama pelajar OKU di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi dengan pemantauan pakar penyelidik dari UKM.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »