MAJLIS BELIA MALAYSIA

Suara Wanita Muda : ‘Wanita Penggerak, Belia Bergerak’

Oleh :

Jumaitul Laily Zakiah Ismail

Naib Pengerusi Wanita

Gerakan Belia 4B (M) Wilayah Persekutuan

Hari ini, saya ingin berkongsi pandangan bukan hanya sebagai seorang wanita muda, tetapi sebagai sebahagian daripada suara kolektif generasi yang yakin bahawa perubahan tidak perlu ditunggu, kerana perubahan bermula dengan kita.

Kita sedang berada dalam era yang bergerak pantas dan penuh ketidakpastian, terutama dari sudut ekonomi dan sosial. Dalam situasi ini, belia tidak boleh terus berdiam diri. Zaman untuk sekadar mengikut arus sudah berlalu. Kini, kitalah yang perlu mencipta arus yang berwibawa dan bermakna.

Kita adalah generasi yang membesar dalam dunia digital, global dan berdaya saing. Kita tidak kekurangan akses, tidak kekurangan suara malah hari ini, kita diberikan lebih banyak ruang dan tanggungjawab untuk mengisinya dengan nilai dan tindakan.

Dalam arus perjuangan ini, wanita muda perlu tampil sebagai penggerak utama. Kita bukan lagi hanya penyokong di belakang. Kita adalah pemimpin di hadapan yang akan mendidik, akan mengubah dan akan mencorak masa depan. Sama ada dalam keluarga, masyarakat, ekonomi mahupun politik, suara wanita harus didengari dan tindakan wanita harus diadili.

Sebab itulah saya percaya sepenuhnya dengan slogan ini ‘Wanita Penggerak, Belia Bergerak’.

Slogan ini membawa dua kekuatan utama iaitu wanita sebagai penggerak yang berwawasan, penuh hikmah dan kepimpinan. Manakala belia bergerak sebagai tenaga utama perubahan yang berani, kreatif dan progresif.

Apabila wanita memimpin dengan empati dan belia melangkah dengan semangat dan punya visi, maka akan lahirlah satu gelombang perubahan yang tidak dapat dihentikan.

Kita perlu menjadi generasi yang bukan sahaja meminta ruang, tetapi mencipta peluang. Bukan hanya menunggu peluang, tetapi membuka jalan. Kita dambakan sebuah ekonomi yang adil, masyarakat yang inklusif, dan negara yang membangun dengan nilai dan jiwa.

Saya percaya, semua ini hanya akan menjadi kenyataan jika wanita dan belia berganding bahu, bukan hanya sekadar dalam wacana, tetapi menerusi tindakan dan penyatuan yang sebenar.

Justeru, saya menyeru kepada semua wanita muda agar teruskanlah melangkah dengan yakin dan kepada seluruh belia, teruskan bergerak ke hadapan. Jangan takut mencabar kebiasaan. Jangan gentar untuk tampil memimpin lebih-lebih lagi sekiranya had umur belia 30 tahun tetap dilaksanakan bermula 1 Januari 2026.

Ingatlah, masa depan tidak dijanjikan. Ia dicipta dan penciptanya adalah kita sendiri. Maka ayuh, kita melangkah dan bergerak bersama demi masa depan yang lebih bermaruah khusus untuk agama, bangsa dan tanah air.

Bertarikh : 3 September 2025

* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »