KUALA LUMPUR 23 Julai – Sdr. Dhanesh Basil, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Industri Kreatif telah menghadiri Majlis Pelancaran ASEAN Film & TV Summit 2025 yang berlangsung di GSC MyTown di sini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, yang menyifatkan sidang kemuncak ini sebagai satu pengiktirafan penting buat Malaysia sempena peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN.
MBM terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh peranan belia dalam ekosistem industri kreatif serantau. Melalui kerjasama strategik bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MBM terlibat secara aktif dalam inisiatif penghasilan kandungan filem berfokuskan generasi muda – menjadikan suara dan aspirasi belia sebagai naratif utama bersempena giliran Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
Sidang kemuncak yang dianjurkan oleh FINAS dengan kerjasama MIFFest dan Asian Film Alliance Network (AFAN) ini menghimpunkan para penggubal dasar, pembikin kandungan serta pelabur serantau bagi meneroka peluang penjajaran dasar dan kerjasama produksi filem serta TV yang lebih strategik dan inklusif.
Turut hadir memeriahkan pelancaran ialah Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS; Joanne Goh, Presiden MIFFest; TYT Axel Cruau, Duta Besar Perancis ke Malaysia; Noel Hidalgo Tan dari Sekretariat ASEAN serta rakan strategik dan pengamal media dari dalam dan luar negara.
Melalui kehadiran aktif MBM dalam platform seperti ini, suara belia bukan sahaja diangkat malah dibentuk menjadi pemangkin utama kepada transformasi industri kreatif serantau ke arah lebih mampan dan berdaya saing.







