MAJLIS BELIA MALAYSIA

Siaran Media : Mohd Syahbuddin Hashim Dipilih Tokoh Belia ASEAN 2016

SIARAN MEDIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA

 

MOHD SYAHBUDDIN DIPILIH TOKOH BELIA ASEAN 2016

 

Siem Reap, Kemboja 26 Ogos 2016 – Sdr. Mohd Syahbuddin Bin Hashim, 39, Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2016 dianugerahkan Tokoh Belia ASEAN 2016 bersama dengan 9 orang lagi belia yang terpilih bagi menerima anugerah tersebut.

 

Dalam majlis yang sama, Sdr. Nor Azman Bin Yahaya, 33, yang mewakili Gerakan Belia 4B (M) Baling, Kedah (Penerima Anugerah Persatuan Belia Terbaik Hari Belia Negara 2016) pula menerima Anugerah The Accomplished Youth Organizations Awards in ASEAN (TAYO) bagi kategori Persatuan.

Kedua-dua anugerah ini adalah pengiktirafan dari Sekretariat ASEAN kepada kesemua belia sama ada individu atau persatuan bagi menghargai kerja-kerja belia atau kesukarelaan yang telah bersama-sama membantu dari segi pembangunan belia di negara masing-masing dan juga serantau.

 

Anugerah tersebut disampaikan sempena 21st ASEAN Youth Day Meeting (AYDM), ASEAN Youth Award dan The Accomplished Youth Organizations Awards in ASEAN (TAYO) yang berlangsung pada 25 hingga 26 Ogos 2016 di Siem Reap, Kemboja. Program yang dihoskan oleh Kemboja selaku tuan rumah ini turut menganjurkan 8th ASEAN Senior Official Meeting on Youth (SOMY) yang dihadiri oleh menteri-menteri belia ASEAN bagi membincangkan isu belia serantau, laporan berkaitan aktiviti belia di negara-negara anggota ASEAN serta perbincangan mengenai Pelan Kerja ASEAN mengenai Belia (ASEAN Work Plan on Youth) 2016-2020.

 

Calon-calon yang dipilih adalah mereka yang diiktiraf dan telah memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan yang melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menerima penganugerahan TAYO ASEAN Award iaitu anugerah belia tertinggi peringkat ASEAN.

 

Mohd Syahbuddin menganggap pengiktirafan yang diberikan ini adalah milik seluruh belia di Malaysia. “Saya berazam untuk menjadikan anugerah ini sebagai landasan untuk mengeratkan hubungan belia di negara-negara ASEAN”.

 

“Saya juga berharap pengiktirafan ini akan memberi galakan kepada generasi muda Malaysia untuk terlibat dalam pertubuhan dan aktiviti belia. Mereka bukan sahaja harus cemerlang sebagai pemimpin pertubuhan belia di peringkat tempatan, malah perlu bersedia bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa”, tambah beliau.

 

Manakala, Nor Azman pula menyifatkan anugerah yang diterima ini sebagai pengiktirafan dan pembakar semangat untuk beliau dan rakan-rakan dalam persatuan untuk berusaha lebih gigih mengangkat memartabatkan persatuan belia.

 

Turut serta dalam delegasi Malaysia ini ialah Sdr. Jufitri Joha, Naib Presiden MBM yang merupakan bekas pemenang Anugerah Tokoh Belia ASEAN 2014, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Ahli Jawatankuasa Kerja MBM dan Sdri. Norzulaiqha binti Zulkifli, Ahli Parlimen Belia Malaysia untuk berkongsi pengalaman di samping memberi sokongan kepada peserta Malaysia.

 

Selain Malaysia, beberapa negara-negara anggota ASEAN lain turut menghantar peserta untuk dinilai oleh barisan juri yang berpengalaman dalam bidang kebeliaan dan kesukarelaan.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

AHMAD SAPARUDIN YUSUP

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Mohd Syahbuddin Nor Azman Yahaya FB_IMG_14722622565716458

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »