Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin mengambil kesempatan pada hari ini 22 Jun mengucapkan selamat ulangtahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-65 sambil mengulangi sokong berterusan agar Akta DBP 1959 dipinda untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu khususnya di ruang awam rasmi. Ini selaras dengan ruh dan hasrat penubuhan DBP 65 tahun yang lalu untuk menggerakkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Tujuan pindaan akta tersebut yang dicadangkan sejak tahun lepas adalah untuk memberikan kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada pemakaian bahasa Melayu yang dijamin oleh undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 di mana sekyen tersebut memperuntukkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.
Berdasarkan pemerhatian MBM, pemakaian bahasa Melayu khususnya di mesyuarat-mesyuarat dan majlis-majlis rasmi Kerajaan yang dihadiri MBM sendiri masih di tahap kurang memuaskan bahkan penggunaan bahasa Inggeris terkadang digunakan secara berleluasa tanpa memohon izin.
MBM sentiasa mendokong polisi Mendaulatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan menyeru pemimpin belia serta anak muda belia Malaysia terus yakin dan berbangga untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu; bahasa komunikasi; bahasa perpaduan dan bahasa global masa depan. Dalam masa yang sama bahasa Inggeris wajib diperkasakan di samping menguasai bahasa-bahasa asing lain.
Selamat Ulangtahun DBP yang ke-65! Semoga DBP terus sakti berbakti mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa global!.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 22 Jun 2021