MAJLIS BELIA MALAYSIA

Selamat Tahun Baharu belia Malaysia

TAHUN 2026 bakal menjadi detik penting dalam landskap pergerakan belia Malaysia. Bermula 1 Januari, pindaan Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007 (Akta 668) akan mula dikuatkuasakan membawa dua perubahan besar melibatkan umur belia dan pemimpin belia diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun; dan tempoh maksimum seseorang ketua pertubuhan dihadkan kepada empat tahun.

Antara Piawaian Global dan Kearifan Tempatan

Hujah di sebalik pindaan ini sering dikaitkan dengan keperluan Malaysia menyesuaikan diri dengan piawaian antarabangsa. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), definisi global bagi “belia” adalah antara 15 hingga 24 tahun. Namun, PBB sendiri mengiktiraf bahawa setiap negara wajar menyesuaikan takrifan umur belia berdasarkan faktor sosioekonomi, politik dan budaya setempat.

Dalam konteks Malaysia, dasar ini memberi kesan besar terhadap pertubuhan belia akar umbi terutama kelompok belia desa, belia rentan dan pertubuhan belia orang kurang upaya. Mengejar piawaian antarabangsa tidak seharusnya mengorbankan kebijaksanaan tempatan. Realiti belia di bandar amat berbeza dengan luar bandar. Dasar yang menyamaratakan semua keadaan boleh membawa padah kepada kesinambungan gerakan belia.

Kita pernah belajar daripada pengalaman lalu. Penetapan had umur belia pada 2007 telah menyebabkan banyak pertubuhan belia berkubur. Jangan biarkan sejarah berulang. Gerakan belia adalah warisan negara yang terbukti menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan, pembinaan bangsa dan lahirnya barisan pemimpin negara hari ini.

Malaysia seharusnya berbangga dengan keunikan sistem pembangunan belia yang kini menjadi rujukan antarabangsa. Negara seperti Uzbekistan dan Rusia pernah mempelajari model Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang memberi ruang perwakilan menyeluruh daripada peringkat daerah hingga kebangsaan. Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sekadar pengikut, tetapi penentu standard global.

Cadangan MBM: Pendekatan Berperingkat dan Realistik

Majlis Belia Malaysia (MBM) berpandangan penetapan had umur perlu dilaksanakan secara berperingkat dari 40 tahun kepada 35 tahun terlebih dahulu — selaras dengan Indeks Belia Asia Tenggara yang mendefinisikan belia antara umur 15 hingga 35 tahun.

Negara jiran seperti Brunei Darussalam dan Singapura telah mengambil pendekatan pragmatik. Dalam Dasar Belia Negara, had umur belia di Brunei adalah antara 15 hingga 35 tahun, dengan tambahan takrifan pemimpin belia adalah di bawah 45 tahun. Singapura pula menaikkan semula had umur belia kepada bawah 35 tahun selepas mendapati had 30 tahun terlalu ketat dan tidak praktikal.

Lebih penting, pindaan umur belia pada 2019 dibuat tanpa rundingan menyeluruh bersama pertubuhan belia. Hal ini menyukarkan pelaksanaan di lapangan. Maka, MBM mencadangkan penyelesaian pentadbiran di bawah Seksyen 123 Akta 668, yang memberi kuasa budi bicara kepada Menteri untuk membenarkan pertubuhan belia di bawah MBM mengekalkan kelayakan kepimpinan antara 18 hingga 35 tahun. Langkah ini menghormati kehendak Parlimen sambil menjamin kesinambungan kepimpinan muda dalam kerangka undang-undang sedia ada.

Ekosistem Sokongan: Dana, Bakat dan Bimbingan

Perbahasan tentang had umur tidak wajar mengalihkan tumpuan terhadap usaha membina pelapis kepimpinan. Dana RM1.5 juta yang diperuntukkan oleh YAB Perdana Menteri telah memberi kesan besar kepada MBM dalam memperkukuh proses peralihan kepimpinan, khususnya bagi pemimpin bawah 30 tahun.

Melalui program Tunas MADANI bersama Akademi Kenegaraan Malaysia, lebih 2,000 belia telah dilatih sebagai pemimpin pelapis. Inisiatif Jom Masuk Belia pula menghidupkan semula Majlis Belia Daerah (MBD) dan memperkukuh penglibatan di peringkat akar umbi.

MBM turut menjelajah ke 14 universiti dan 20 kawasan desa bagi mendengar sendiri keresahan belia terhadap perubahan ekosistem pembangunan belia. Namun, pembangunan belia bukan sekadar soal dana. Usaha ini menuntut pengurusan bakat yang sistematik, bimbingan berterusan dan masa yang cukup bagi melahirkan pemimpin yang memahami denyut nadi generasi muda.

Perbetulkan Salah Faham Tentang Gerakan Belia

Masih wujud tanggapan bahawa pertubuhan belia hanyalah batu loncatan ke dunia politik. Hakikatnya, majoriti pemimpin belia adalah profesional muda seperti pensyarah, penjawat awam, guru, usahawan, dan pekerja gig yang berkhidmat atas dasar tanggungjawab sivik, bukan cita-cita politik.

Gerakan belia bukan sekadar menganjur program, tetapi merupakan institusi sosial dan intelektual yang membentuk dasar awam, menggerakkan wacana nasional dan menjadi suara semak imbang kepada kerajaan. Contohnya, ABIM mengurus rangkaian pendidikan dengan lebih 10,000 pelajar yang ditadbir oleh belia. Ini bukti jelas bahawa gerakan belia adalah sebahagian daripada ekosistem pembangunan sosial dan demokrasi negara.

Menurunkan had umur belia secara mendadak akan membawa kesan sosioekonomi terhadap kebolehpasaran kerja, keusahawanan dan penglibatan sivik. Dalam keadaan ekonomi mencabar, ramai anak muda di usia 30-an masih membina kestabilan hidup, bukan meninggalkan tanggungjawab sosial. Lebih membimbangkan, jika ruang kepimpinan terlalu sempit, gerakan belia berisiko dikuasai elit politik dan perniagaan, seperti yang berlaku di Indonesia. Kita tidak mahu pergerakan belia Malaysia menjadi eksklusif dan terpisah daripada denyut sebenar anak muda.

Had Umur Bukan Sekadar Angka

Bagi MBM, perjuangan mempertahankan had umur bukan soal kedudukan, tetapi soal masa depan generasi muda Malaysia. Had umur belia bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan ekosistem, fasa kehidupan dan kesinambungan generasi.

Menteri Belia dan Sukan yang baharu diharap meneliti isu ini dengan kebijaksanaan dengan melaksanakan perubahan yang berhikmah, berimbang dan berpaksikan realiti masyarakat.

* Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia dan berkhidmat sebagai seorang Pensyarah Undang-undang di sebuah universiti awam di Sarawak.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Artikel penuh :

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kolumnis-selamat-tahun-baharu-belia-malaysia-553395?fbclid=IwY2xjawO-_bBleHRuA2FlbQIxMQBzcnRjBmFwcF9pZBAyMjIwMzkxNzg4MjAwODkyAAEew_6gXc4k1mR8oBzVvG5XCNVuazgr4R6UhygqyEvJjbEBJZv11T_Eh9l9jOw_aem_jfPOk3b8XwzxaT_I8mIi9A

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »