KUALA LUMPUR |13 – 15 Jun 2025 – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Merdeka telah melabuhkan tirai dengan jayanya menerusi pelaksanaan 15 segmen utama yang mencerminkan kepelbagaian minat, bakat dan aspirasi anak muda masa kini.
Acara penutup dimeriahkan dengan Konsert ASEAN, yang menjadi simbolik kepada jalinan erat antara belia Malaysia dan negara-negara serantau. Konsert ini bukan sahaja menjadi kemuncak kepada sambutan HBN, malah memperlihatkan semangat perpaduan, keterangkuman dan solidariti belia dari pelbagai latar belakang budaya dan bangsa di rantau Asia Tenggara.
Kehadiran ribuan belia dari seluruh negara menjadikan sambutan ini penuh warna-warni dan meriah, memperkukuh mesej utama HBN 2025 iaitu memperkasakan suara dan peranan generasi muda dalam membentuk masa depan negara dan rantau.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang turut mengumumkan peruntukan RM4 juta kepada MBM.
Penganjuran ini merupakan kerjasama strategik antara Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha memperluaskan ruang ekspresi serta penglibatan belia secara aktif, selari dengan semangat “Yakin Boleh”.
MBM merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh belia Malaysia yang telah membanjiri lokasi sambutan dan menjadikan HBN 2025 sebagai satu manifestasi kehebatan dan penyatuan belia negara.








































































































