MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sahabat Penggerak Madani: Barisan Hadapan Naratif Kenegaraan

KUALA LUMPUR 12 April – Majlis Belia Malaysia (MBM) terus komited memperkasa peranan anak muda sebagai agen perubahan dalam masyarakat melalui pelaksanaan Program Training of Trainers (ToT) Sahabat Penggerak MADANI Siri 2 yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Kenegaraan dan Patriotisme (PKKP).

Menutup program tersebut, Naib Presiden MBM, Hasnul Haniff Harun menegaskan bahawa belia bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi merupakan pemacu utama dalam membentuk landskap sosial dan kenegaraan negara.

“MBM akan terus menggerakkan tenaga anak muda sebagai agen perubahan kepada masyarakat. Jadilah generasi yang bukan sekadar hadir, tetapi memberi impak dan manfaat kepada orang lain,” katanya.

Program selama tiga hari ini merupakan anjuran bersama MBM dan Bahagian Belia, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), dengan matlamat memperluas jaringan Sahabat Penggerak MADANI (SPM) bagi menyokong pelaksanaan program-program AKM pada masa hadapan.

Sepanjang program, para peserta telah diberikan pendedahan asas berkaitan dasar-dasar semasa kerajaan serta kemahiran penyampaian naratif kenegaraan. Inisiatif ini turut memberi fokus kepada penyertaan belia berumur di bawah 30 tahun, melibatkan wakil badan gabungan MBM serta pelajar daripada institusi pendidikan tinggi awam.

Peserta yang berjaya menamatkan program ini bakal memainkan peranan sebagai penyampai mesej kenegaraan dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai penceramah, fasilitator dan jurulatih.

Kolaborasi strategik antara MBM dan AKM ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam membina generasi muda yang berjati diri, berdaya saing serta memiliki semangat nasionalisme yang tinggi.

MBM turut merakamkan penghargaan kepada AKM atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada pergerakan belia untuk bersama-sama menyumbang dalam usaha membentuk generasi masa depan negara yang lebih progresif dan berintegriti.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »