Kemaman, Terengganu | 7–8 Oktober 2025 – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jazro Robotic Academy telah menganjurkan Pertandingan RoboMaster MBM Cup 2025 bertempat di Dewan Mercu, SMK Chukai, Kemaman.
Program selama dua hari ini disertai oleh seratus orang peserta daripada dua buah sekolah di daerah Kemaman.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sdr. Izham Ahmad, Bendahari Kehormat MBM.
Turut hadir Encik Wan Azmi bin Wan Ali, Pengetua SMK Chukai; Encik Cik Faizal@Hilmi bin Hj Omar, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Chukai; dan Encik Muhamad Zulhelmi Hisham bin Rozlan, Pemangku Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kemaman.
Pada hari pertama, para peserta diberi pendedahan asas tentang robotik, termasuk penerangan mengenai komponen dan fungsi robot yang digunakan. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memasang sendiri robot masing-masing. Pada sesi petang, mereka mengikuti latihan pengaturcaraan menggunakan sistem Arduino IDE bagi mengaturcara robot untuk melaksanakan tugasan tertentu.
Manakala pada hari kedua, peserta menjalani latihan misi pengaturcaraan sebelum menyertai beberapa aktiviti menarik seperti Pertandingan ‘Coding Mission’, Demo ‘Robo-Battle’, dan Pertandingan ‘Robosoccer’ yang menguji kreativiti serta kemahiran teknikal mereka dalam mengawal dan mengatur strategi robot masing-masing.
Pertandingan ini bertujuan untuk memupuk minat dan kemahiran belia dalam bidang teknologi dan inovasi, di samping memperkukuh pengetahuan asas mereka terhadap dunia sains dan kejuruteraan, selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.


















































