NIBONG TEBAL 29 Oktober – Gelombang inovasi terus membara di utara tanah air apabila RoboMaster MBM Cup 2025 Zon Utara melabuhkan tirainya di Kolej Vokasional Nibong Tebal (KVNT) dengan penyertaan 50 pelajar jurusan elektrik dan mekanikal yang penuh semangat dan daya saing tinggi.
Sepanjang program, para peserta bukan sekadar belajar asas teknologi — mereka turut menguji robot ciptaan sendiri, berentap dalam pusingan coding mission dan pengaturcaraan Arduino IDE, serta menyertai aksi penuh mendebarkan dalam Robo-Battle kategori Robo Soccer.
Lebih menarik, peserta turut berpeluang merasai kehebatan mengendalikan Robo Master II, memberi pengalaman sebenar dunia robotik moden.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Mozakir Buyong Mokhtar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang yang menzahirkan harapan agar program seperti ini menjadi nilai tambah kepada belia seiring dengan perkembangan dunia AI masa kini.
Turut hadir, Sdri. Nuriffah Atiqah, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), serta Pengarah KV Nibong Tebal, Encik Zainuren Hj. Mohd Nor.
Kolaborasi Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Kementerian Belia dan Sukan dan Jazro Robotic Academy ini terus menjadi wadah penting dalam memupuk minat belia terhadap bidang STEM, merangsang kreativiti, serta membina kesiapsiagaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.
Dalam masa yang sama, MBM turut mengambil peluang menganjurkan sesi pengenalan persatuan belia yang dikendalikan oleh Sdr. Amirul Abdul Safar, Exco MBM, bagi memperkukuh jaringan kepimpinan belia di peringkat akar umbi.

















































