Oleh :
TC Sivanesan Tamil Selvam
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia
Malaysia kini sedang berdiri di ambang satu peralihan sejarah. Dalam keadaan dunia yang berhadapan dengan krisis iklim, gelombang kecerdasan buatan yang tidak terbendung, dan jurang ketidaksamarataan yang semakin ketara, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hadir bukan sebagai dokumen rutin perancangan ekonomi lima tahun semata-mata, tetapi sebagai sebuah perisytiharan tanggungjawab. Tanggungjawab moral dan strategik untuk membina sebuah negara bangsa yang berakar pada nilai perpaduan, berpaksikan kelestarian, dipacu oleh inovasi teknologi, dan yang paling utama – mampu menjamin keadilan untuk semua rakyatnya tanpa mengira latar belakang.
Perpaduan bukan sekadar idealisme yang dilaungkan dalam perhimpunan nasional. Ia adalah realiti yang perlu dibina dengan dasar yang menyentuh kehidupan harian rakyat. Dalam suasana politik yang semakin terpolarisasi dan pemikiran komuniti yang sering terpisah mengikut garisan etnik dan kelas, Malaysia memerlukan satu pendekatan dasar yang benar-benar merapatkan jurang psikologi dan material antara rakyatnya. RMK13 perlu membina semula kepercayaan antara rakyat dan negara, antara kaum dengan kaum, serta antara generasi yang mewarisi negara ini. Ini hanya dapat dilakukan melalui pengagihan semula peluang yang adil, reformasi pendidikan yang menyeluruh, dan kesediaan politik untuk menerima naratif kepelbagaian sebagai kekuatan, bukan ancaman.
Dalam pada itu, dunia tidak menunggu. Perubahan iklim telah pun menjadi krisis nyata – dengan banjir luar biasa, suhu melampau dan kemusnahan biodiversiti menjadi berita harian. Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada naratif pertumbuhan yang mengorbankan kelestarian. RMK13 mesti menjadikan teknologi hijau sebagai asas pembangunan negara, bukan sekadar sektor sokongan. Lebih penting, kita mesti bergerak ke arah pentadbiran negara yang dipandu oleh prinsip ESG – Environmental, Social and Governance – bukan sekadar sebagai syarat pelabur asing, tetapi sebagai prinsip moral dan tanggungjawab kepada rakyat serta generasi akan datang. Kerajaan, agensi, GLC dan sektor swasta perlu diikat dengan penilaian ESG yang telus, dipantau secara berkala, dan melibatkan masyarakat sivil dalam proses semak imbang. Kita tidak boleh lagi menangguhkan pemulihan ekologi atau menganggap kelestarian sebagai beban, sedangkan ia adalah kunci kepada daya tahan negara.
Di tengah semua ini, generasi muda berdiri sebagai penjuru terpenting kepada kejayaan atau kegagalan pelan ini. Belia Malaysia hari ini berdepan dunia yang tidak sama seperti generasi terdahulu. Dunia digital yang mendominasi, ketidaktentuan ekonomi pascapandemik, dan kebangkitan kecerdasan buatan menjadikan mereka bukan hanya pewaris masa depan – tetapi pelaksana masa kini. Maka, RMK13 perlu memberi perhatian khusus kepada pembangunan AI bukan sahaja sebagai teknologi ekonomi, tetapi sebagai instrumen pembebasan belia. Kita mesti membangunkan sebuah ekosistem AI nasional yang membolehkan belia mencipta, mengawal dan mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi ini. Akses terhadap pendidikan berkualiti dalam sains data, algoritma, dan automasi perlu dipertingkatkan secara besar-besaran, khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir. Ini bukan soal teknologi semata-mata – ini soal keadilan digital.
Jurang sosioekonomi yang semakin melebar pula adalah bayang-bayang paling gelap yang menghantui cita-cita kemajuan kita. Pertumbuhan ekonomi Malaysia selama beberapa dekad sering kali dinikmati oleh kelompok atas, sementara kelompok B40 dan M40 terus terperangkap dalam lingkaran kesempitan hidup. RMK13 mesti menjawab isu ini secara berani – dengan merombak pendekatan terhadap subsidi, meningkatkan pelaburan dalam ekonomi sosial dan koperasi, serta membuka ruang pemilikan ekonomi kepada mereka yang paling lama disisihkan. Kita tidak memerlukan lagi angka pertumbuhan KDNK yang membutakan. Kita perlukan pertumbuhan yang mengangkat martabat manusia, bukan sekadar mengisi akaun pelabur besar.
Sustainability atau kemampanan – dalam makna sebenarnya – perlu menjadi benang merah yang menyatukan keseluruhan dokumen RMK13. Ia bukan hanya merujuk kepada alam sekitar, tetapi kepada struktur sosial yang adil, sistem ekonomi yang tahan uji, dan institusi yang telus dan berakauntabiliti. Kemampanan bermaksud memastikan bahawa setiap keputusan hari ini tidak akan menggadaikan hak anak cucu kita esok. Ia menuntut kita keluar dari politik populis jangka pendek dan mula melihat negara ini sebagai amanah lintas generasi. Ini menuntut integriti dasar, keberanian politik, dan kejujuran moral.
Sebagai seorang Exco Majlis Belia Malaysia, saya percaya RMK13 adalah peluang yang tidak datang selalu. Ia adalah momen kolektif untuk kita merangka semula masa depan negara dengan meletakkan perpaduan sebagai jiwa, teknologi hijau dan ESG sebagai enjin, AI sebagai bahasa belia, keadilan sosioekonomi sebagai asas, dan kemampanan sebagai iltizam. Rakyat tidak menunggu angka atau janji – mereka menunggu arah. Dan arah itu mesti jelas: sebuah Malaysia yang berani berubah, dan bersedia untuk membina semula.
Bertarikh : 24 Julai 2025
*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis