PORT DICKSON: Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM5 juta setahun kepada Majlis Belia Malaysia, MBM.
Beliau menjelaskan, peruntukan itu diberi berikutan kerjasama MBM yang turut berperanan membentuk negara Madani.
”Majlis belia malaysia boleh dipersatukan dengan semangat perpaduan yang jitu, dan sebab itu MBM di negeri sangat penting bagi menyelamatkan negara kita untuk membina kekuatan baru, ” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Belia Negara 2023 di sini, hari ini.
Tambahnya, MBM adalah pertubuhan bukan kerajaan yang istimewa kerana ia juga mewakili persatuan daripada pelbagai sektor serta wilayah atau desa.
Anwar juga mahu kepimpinan majlis belia malaysia mempunyai 30 peratus kuota wanita.
Pada majlis itu juga Anwar turut melancarkan model pembangunan belia Madani 2030.
Perdana Menteri dalam pada itu memberitahu beliau akan membawa cadangan ke peringkat Jemaah Menteri supaya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd. dan Petronas dilibatkan dalam program latihan belia yang memberikan tumpuan dalam aspek kepemimpinan.
“Saya akan bawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa singkat supaya agensi-agensi terlibat, baik Perkeso, Khazanah, Petronas untuk turut terlibat dalam program latihan di institut latihan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
“Sekarang ini sudah dilakukan umpamanya TVET (Program Latihan Teknikal dan Vokasional) yang dikendalikan bersama Petronas dan syarikat-syarikat swasta. Tetapi di institut (latihan) ini, saya setuju dengan pandangan menteri, mengenai kepemimpinan yang masih kritikal dan penting.
“Saya ingin menggesa bahawa dengan latihan kepemimpinan ini dengan berani dan terang dapat membawa mesej yang jelas bahawa negara ini mesti diselamatkan, siapa yang akan jadi tonggak untuk menyelamatkan negara ini daripada kemungkaran, rasuah dan penyelewengan? (mereka ialah) anak muda, jadi saudara pegang tanggungjawab ini baik-baik,” katanya.
https://www.buletintv3.my/nasional/rm5-juta-setahun-diperuntukkan-kepada-mbm/