CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Majlis Belia Malaysia dalam usaha memperkasa golongan belia di negara ini.
Pengumuman tersebut dibuat semasa beliau merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan.
Dalam ucapannya yang turut dikongsikan di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri menegaskan bahawa suara dan aspirasi anak muda perlu terus diberi tempat yang sewajarnya dalam mencorak masa depan negara.
“Suara anak muda dan golongan belia wajar terus didengari, dihormati dan diangkat sebagai suara penting dalam mencorak hala tuju negara,” katanya.
Beliau turut memuji semangat dan tenaga golongan belia yang disifatkan sebagai faktor penting dalam membawa arus perubahan positif kepada Malaysia.
“Gegak gempita semangat, tenaga dan aura belia amat signifikan dalam membawa arus perubahan ke arah masa depan negara yang lebih cemerlang dan berdaya saing di peringkat serantau mahupun global.”
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara bergantung kepada potensi dan idealisme anak muda.
“Kita yakin bahawa kekuatan sesebuah negara bergantung kepada potensi, idealisme dan daya juang anak mudanya.”
Sehubungan itu, beliau menyeru agar suara belia terus disantuni dan diberi ruang seluasnya untuk menyumbang dalam pembinaan negara.
“Suara belia mesti diberi ruang dan peluang, pandangan mereka perlu didengar, aspirasi mereka dihargai, dan penglibatan mereka dalam proses penggubalan dasar serta pembangunan negara mesti terus disuburkan.”
“Marilah kita bersama menyemarakkan semangat menyantuni suara belia dan membuka jalan kepada mereka untuk terus menyumbang kepada tanah air tercinta.”
Majlis sambutan yang berlangsung malam ini turut menampilkan penyertaan ratusan belia dari seluruh negara dengan pelbagai aktiviti dan persembahan yang mencerminkan aspirasi serta semangat anak muda Malaysia.
Artikel penuh :