PUTATAN 16 Sep – Program Reach Out Community MBD telah singgah ke Borneo di Negeri Sabah sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu.
Berlangsung di Utan Restoran & Kafe Putatan, program ini dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Encik Charles William Dabbi yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian.
Hadir sama menyerikan majlis adalah Setiausaha Politik YAB Menteri Kewangan, Encik Kamil Munim. Beliau sempat berkongsi kata-kata semangat kepada lebih 200 orang belia yang hadir supaya bersama kerajaan membangunkan negara sekaligus melahirkan generasi yang berkualiti.
Antara pengisian program ialah taklimat berkenaan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) oleh Pendaftar Kanan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Sabah, Puan Suzirani Muamat; perkongsian Ikon Belia dan Kepimpinan bersama Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Presiden Majlis Belia Sabah; persembahan ekspresi kesenian dari anak muda setempat iaitu Kumpulan Bertitik Gema Bertingkah dan Razali Kulintangan.
Turut diadakan kaunter MAHSA College Sabah Campus untuk belia-belia menyambung pelajaran dengan tawaran biasiswa selain Skuad Sukarelawan Antidadah Sabah.
Penampilan MAD SABAH dalam sesi ‘Stand-up Komedi’ di akhir program menarik perhatian hadirin dengan persembahan yang menghiburkan.
Program anjuran MBM; Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Belia Sabah dan diuruskendalikan oleh Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah ini bertujuan menyantuni belia akar umbi di samping mendapatkan pandangan belia berkaitan pelaksanaan Akta 668 [Pindaan].
Hadir sama Bendahari Kehormat MBM, Sdr. Mohd Izham Ahmad; Exco MBM, Sdri. Siti Sobrinah Tassim; Presiden MBS, Sdr. Abqaree Fawwaz Abekan; kepimpinan MBS dan persatuan belia setempat.
Terima kasih juga kepada rakan strategik Chery Malaysia sebagai penyedia kenderaan rasmi dan Projek Belia Mahir sebagai rakan penggerak.
Terima kasih belia Sabah!