Selangor | Bangi, 11 Disember 2025 – Perlawanan Bola Persahabatan Solidariti Palestin antara Pasukan Pilihan KMUKM dan Pasukan Pilihan Majlis Belia Malaysia (MBM) berlangsung di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam suasana penuh semangat kebersamaan.
Aksi selama 90 minit menyaksikan Pasukan Pilihan KMUKM muncul juara dengan keputusan 4-3 ke atas Pasukan Pilihan MBM. Majlis penutup turut diserikan dengan penyampaian Piala Pusingan kepada pasukan pemenang serta pelancaran Tabung Kemanusiaan Belia sebagai simbol solidariti berterusan terhadap perjuangan kemanusiaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Presiden MBM; Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Naib Presiden MBM; Sdr. Hasnul Haniff, Penolong Bendahari Kehormat; Sdr. Iqmal Mahadi, serta Exco MBM Sdr. Mustaqim dan Sdr. Syahir Razak. Turut hadir memberikan sokongan ialah Sdr. Azhar, Presiden MGBK.
MBM turut merakamkan penghargaan kepada KMUKM dan GPMS UKM sebagai rakan penganjur yang memastikan penganjuran program ini berjalan lancar dan cemerlang meskipun dengan persiapan yang singkat. Kerjasama erat ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda belia dan kemanusiaan.
Melalui inisiatif Campus Reach Out, MBM akan terus menjadi jambatan yang mempertemukan mahasiswa dan pemimpin belia, demi melakar masa depan yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing untuk generasi muda Malaysia.












































































































































































