MAJLIS BELIA MALAYSIA

Raja Muda Perlis Berkayuh Santai Bersama Belia, Rasmi Y-HUB @MBM

KUALA LUMPUR 14 Feb – Majlis Belia Malaysia (MBM) terus memperkukuh agenda pembangunan belia menerusi penganjuran Program Kayuhan Santai bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis yang berlangsung dalam suasana bersemangat di Bandar Tun Razak.

Program kayuhan sejauh 15 kilometer bermula di Pusat Belia Antarabangsa dan melalui laluan sekitar Bandar Tun Razak dengan penyertaan barisan kepimpinan MBM, pasukan Tim Tayar Golek (TTG) serta orang awam yang hadir memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan belia.

Program ini merupakan anjuran MBM dengan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Pusat Belia Antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi dalam ucapannya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DYTM Tuanku kerana buat pertama kalinya seorang anak raja sudi mencemar duli singgah di teratak MBM bagi merasmikan Y-HUB MBM yang terletak di Tingkat 1 sebagai alternatif pusat rekreasi dan ruang interaksi anak muda.

Peserta kayuhan turut berhenti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi pengisian acara seterusnya oleh pasukan digelar “The City Boys”. DYTM Tuanku menyaksikan penyampaian sumbangan MBM kepada bekas-bekas pemain bolasepak Kuala Lumpur era 90an sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam arena bola sepak negara.

Program diakhiri dengan jamuan diraja dan sesi bergambar yang berlangsung dalam suasana penuh mesra, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara institusi diraja dan kepimpinan belia.

Penganjuran Kayuhan Santai ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi serta menyuntik semangat perpaduan dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »