CHERAS, 15 Februari 2026 — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Pusat Aktiviti Belia Setempat (Y-HUB) Majlis Belia Malaysia yang berfungsi sebagai alternatif pusat rekreasi dan ruang interaksi anak muda di Cheras, ibu negara.
Program berkenaan turut diisi dengan sesi interaksi bersama golongan belia yang memberi ruang kepada peserta bertukar pandangan secara terbuka, selain mendapatkan inspirasi dan panduan secara langsung daripada Baginda.
Keberangkatan tersebut mencatat sejarah tersendiri apabila ia merupakan kali pertama seorang Pewaris Takhta negeri berangkat ke ibu pejabat MBM di Wisma Zelan, Bandar Tun Abdul Razak.
Sempena program Kayuhan dan Sesi Tuanku Raja Muda Perlis Bersama Belia anjuran MBM, Baginda turut singgah di Taman Tasik Permaisuri sebelum berangkat ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi pengisian acara bersama pasukan digelar “The City Boys”.
Baginda meluangkan masa beramah mesra dengan jurulatih serta pemain Kuala Lumpur City F.C., selain menyaksikan penyampaian sumbangan silaturahim sempena Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan Kareem daripada pihak MBM kepada bekas pemain Kuala Lumpur era 80-an dan 90-an sebagai penghargaan terhadap jasa mereka dalam arena bola sepak negara.
Antara bekas pemain yang hadir ialah Azman Adnan, Tang Siew Seng, Subadron Aziz, Saidin Osman, Nazim Din, Kamarul Zaman Yusof dan Datuk Ramlan Askolani.
MBM berperanan memupuk kemajuan belia secara seimbang meliputi aspek sosial, ekonomi, fizikal, mental, moral dan politik, selain menggalakkan semangat patriotisme, kreativiti serta tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
Melalui pelbagai program pembangunan, termasuk perhimpunan tahunan, dialog dasar belia dan kerjasama strategik bersama kerajaan serta sektor swasta, MBM terus memperkukuh suara dan peranan belia dalam arus pembangunan negara.
Artikel penuh :