Pulau Pinang | 16 September 2025 – Telah berlangsung Program Jiwa Merdeka: Aspirasi Belia Madani dan Reach Out Community anjuran bersama Jabatan Komunikasi Malaysia (JKOM), Majlis Belia Malaysia (MBM) serta Majlis Belia Negeri Pulau Pinang bertempat di The Paddy Pavilion, Permatang Pauh.
Program ini diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia 2025 dengan objektif utama menggalakkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa, Senator Tuan Amir Md Ghazali, serta Ketua Pengarah JKOM, Dato’ Hj. Ismail bin Yusop.
MBM dihadiri Presidennya oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi bin Hj. Abdul Hamid.
Pelbagai pengisian menarik telah dilaksanakan sepanjang program, antaranya pertandingan E-Sukan untuk golongan belia, Jualan Rahmah dengan tawaran barangan pada harga mampu milik, pemberian minyak hitam percuma sebagai tanda penghargaan kepada peserta, serta pemeriksaan kesihatan percuma bagi memastikan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.
Reach Out Community ini menampilkan penglibatan belia dan masyarakat dari seluruh negara, bertujuan memperkasakan komuniti melalui pelbagai aktiviti dibawah Rakan Muda.
Dalam kesempatan ini, MBM turut merakamkan ucapan tahniah kepada lima orang penerima pingat sempena memperingati 77 tahun ulang tahun MBM, sebagai penghargaan atas sumbangan dan jasa besar mereka dalam mengangkat martabat belia.























