KUALA LUMPUR 26 Mei – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan delegasi belia ASEAN telah menyertai sesi ASEAN Leaders’ Interface with ASEAN Youth sempena Persicangan ASEAN 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center.
Dalam sesi ini wakil delegasi belia dari setiap negara ASEAN mengadakan sesi libat urus bersama kepimpinan tertinggi dari negara-negara ASEAN.
YAB Perdana Menteri dalam ucapannya, menyatakan belia ASEAN mempunyai peranan strategik dalam pembangunan serantau.
“Mereka bukan sahaja generasi penerus masa depan, malah terlibat secara langsung sebagai pemegang taruh dalam merangka dasar dan hala tuju negara”.
Golongan belia berperanan penting dalam menangani cabaran global seperti pendidikan, peluang pekerjaan, kesan perubahan iklim serta transformasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Di akhir perbincangan, satu Rangka Kerja Pelan Tindakan Belia ASEAN ditubuhkan sebagai panduan utama bagi memastikan isu-isu kritikal belia diberi perhatian melalui kerjasama serantau.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abdul Halim.
Pastinya ruang ini memberi peluang bermakna kepada pemimpin dan golongan belia negara berkongsi pandangan dan aspirasi di pentas prestij dalam hala tuju dan pembangunan strategik dan keharmonian di rantau ini.





