PHNOM PENH 27 Mac – Pimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menghadiri Majlis Iftar Ramadhan yang dihoskan oleh HE. Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja yang disertai lebih 6,000 orang bertempat di Chroy Changvar International Convention and Exhibition Centre (CCIC) di sini.
Majlis ini dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut berada di Kemboja atas lawatan rasmi Kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri dalam ucapannya memuji usaha Kerajaan Kemboja yang memberi penghormatan tinggi kepada komuniti Islam di negara itu dan perlu menjadi contoh kepada negara lain yang menunjukkan agama adalah untuk toleransi dan kasih sayang.
Untuk rekod, majlis Iftar ini merupakan penganjuran kali ke-7 yang dihoskan oleh Perdana Menteri Kemboja sebagai menghargai komuniti Islam di negara ini.
Perdana Menteri turut menunaikan solat tarawih dan menyampaikan takziah ringkas di Masjid Al-Serkal.
Antara tetamu yang hadir terdiri daripada imam-imam, guru agama, pemimpin NGO Kemboja dan pemimpin luar negara.
Kehadiran MBM atas undangan rasmi daripada Menteri Kanan Jabatan Perdana Menteri Kemboja, H.E Okhna Datuk Dr. Othsman Hassan merangkap Pengasas Cambodian Muslim Youth Association (CMYA).