Kuala Lumpur | 13 Januari 2026 — Cambodia Muslim Youth Alliance (CMYA) telah mengadakan satu pertemuan strategik bersama kepimpinan belia Malaysia bertempat di Wisma Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam usaha memperkukuh hubungan kerjasama belia Islam di peringkat serantau, khususnya antara Malaysia dan Kemboja.
Pertemuan tersebut dihadiri oleh kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diketuai oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid, Presiden MBM, bersama Sdr. Hasnul Haniff Harun, Naib Presiden MBM, Sdr. Dhanesh Basil, Naib Presiden MBM dan Sdr. Kishore Kumar, Penolong Ketua Penerangan MBM . Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan belia, kepimpinan generasi muda serta penerokaan peluang kerjasama dua hala antara organisasi belia Malaysia dan Kemboja.
Delegasi diketuai oleh H.E Nos Sles, Setiausaha Negara (Timbalan Menteri) Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan serta Ketua Pegawai Eksekutif Cambodian Muslim Teacher Association (CAMTA). Turut mengiringi beliau ialah H.E Nasiet Othsman, Presiden Cambodia Muslim Youth Alliance merangkap Penasihat kepada Kerajaan Diraja Kemboja berpangkat Menteri.
Pertemuan ini turut disertai oleh H.E Aly Mosa, Penasihat kepada Kerajaan Diraja Kemboja. Perbincangan menyentuh aspek pengukuhan jaringan belia Islam serantau, pertukaran pengalaman kepimpinan serta pelaksanaan program bersama pada masa hadapan.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama CMYA dan MBM dalam membina kerjasama strategik yang mampan, selari dengan aspirasi memperkasa belia Islam dan memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Kemboja di peringkat serantau.





