KUALA LUMPUR 20 Dis – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan pertemuan rasmi dengan High Commission of Singapore di Malaysia. Pertemuan ini bertujuan membincangkan pelaksanaan program Let’s Talk ASEAN, sebuah siri podcast berbentuk semi-formal yang akan menampilkan duta-duta besar negara ASEAN yang berkhidmat di Malaysia.
Program ini dijangka menjadi platform perbincangan santai tetapi bermakna dalam memperkukuhkan hubungan diplomasi belia serantau terutama menjelang Kepengerusian ASEAN di Malaysia.
MBM turut merakamkan penghargaan kepada High Commission of Singapore atas sokongan terhadap inisiatif ini. Siri podcast Let’s Talk ASEAN ini dijangka bakal dilancarkan secara rasmi di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM pada Januari 2025.
Selain itu, perbincangan juga tertumpu kepada dua inisiatif utama MBM, iaitu program Colors of ASEAN dan pembentangan program ASEAN-MBM yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2025. Kedua-dua program ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk merealisasikan aspirasi belia menjelang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.
Turut hadir mewakili MBM ialah Sdr. Dhanesh Basil, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa MBM, Sdri. Kavita selaku Sekretariat ASEAN-MBM, Sdri. Hasinah, dan Sdr. Syahmi Shamsudin, yang memberikan input berharga untuk memastikan kejayaan program-program ini.