BANGI 22 Jun – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Jufitri Joha telah melayani permintaan berdiskusi dengan Sdr. Mohamad Zaini, Setiausaha Agung Parti Generasi Baru (berdaftar 2014) bertujuan mengangkat kedudukan generasi muda dalam arus pembangunan negara dan Sdr. Razz Azmai penaja gerakan Parti Anak Muda (belum berdaftar) yang juga cuba memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada generasi muda berpencak di arena politik negara.
Mereka berhujah bahawa sudah sampai masanya anak muda diberikan watak utama dalam politik tanahair di samping memeriahkan lagi penyertaan anak muda ke dalam spektrum demokrasi. Ia juga memberikan sambutan kepada penurunan had umur mengundi undi 18 tahun dan pendefinisian semula umur belia 15 – 30 tahun. Mereka turut mengajak saya menyertai usaha mereka ini.
Ini merupakan siri sindikasi saya bersama kelompok anak muda yang berminat membuat perubahan dan membina Negara melalui arena politik. Saya sudah mempunyai beberapa sesi sebelum ini bersama pemuda UMNO, Amanah, Armada, Ikatan dan AMK serta meneruskan sesi sindikasi bersama Dapsy, Pemuda PSM, PAS dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.