KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan kerajaan supaya menggubal Akta Kesejahteraan Generasi Masa Depan digubal secara khusus yang berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.
Presiden MBM, Jufitri Joha, berkata akta itu bertujuan menggesa pemimpin politik, pembuat polisi dan pentadbir sentiasa memikirkan hak serta kesejahteraan generasi masa depan dalam setiap pembuatan keputusan dan polisi.
Katanya, akta itu adalah yang terdapat di Wales, dikenali sebagai Well-being of Future Generations (Wales) Act 2015.
“Selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 pula, MBM menggesa kerajaan agar segera menggubal Akta Kerja Belia Profesional bagi mewujudkan ekosistem dan profesyen pekerja belia profesional.
“Ini bagi membimbing jati diri dan menggilap bakat generasi muda belia secara profesional serta sepenuh masa sekali gus mengiktiraf peranan pengamal kerja belia dan mewujudkan kerjaya berasaskan kemanusiaan yang semakin kritikal pada masa kini,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Belia Negara, hari ini.
Secara tradisinya, setiap 15 Mei adalah sambutan Hari Belia Negra sejak 1964 bagi mengiktiraf sumbangan, pencapaian dan pengorbanan generasi muda belia di semua peringkat. Namun, pada tahun ini ia disambut secara sederhana dalam suasana pandemik masih suram serta meninggalkan kesan mendalam kepada kesejahteraan dan masa depan muda belia.
Jufitri berkata, penggubalan akta khusus itu selari dengan tujuan agenda besar dan bersifat jangka panjang, berikutan hak serta kesejahteraan generasi belia sebagai aset generasi masa depan negara wajib dipertahankan dan dipelihara daripada tangan rakus yang menjarah kekayaan negara, perosak alam sekitar.
“Masa depan belia juga wajar dipelihara daripada golongan perasuah serta pengkhianat negara yang langsung tidak mempedulikan nasib dan masa depan generasi muda belia,” katanya.
Beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka masa pendek, MBM menegaskan supaya kerajaan terus memberikan bantuan tunai kepada belia dan rakyat bagi menyara keperluan harian serta membiayai kos pendidikan mereka di samping memperkukuhkan sistem sekuriti sosial.
“Aspek pendidikan dan pekerjaan generasi muda belia wajib terus dijamin bagi berhadapan dengan situasi pandemik yang tidak menentu ini.
“Justeru kami berazam untuk terus membawa suara dan mempertahankan hak generasi muda belia agar aset terpenting negara ini yang dipelihara hak, kesejahteraan serta masa depan mereka,” katanya.
Katanya, seperti kebanyakan masyarakat, golongan belia turut menerima kesan berganda membabitkan ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kesihatan mental malah berdepan masa depan kelam serta tidak menentu.
“Sumbu semangat dan obor harapan generasi muda belia negara ini mesti dihidupkan segera bagi memastikan mereka bingkas bangkit berdepan cabaran dan meneroka masa depan. Diharapkan dengan Hari Belia Negara yang disambut hari ini, diharapkan dapat mencetuskan petikan nyalaan itu,” katanya.