MAJLIS BELIA MALAYSIA

PENDIRIAN MAJLIS BELIA MALAYSIA BERHUBUNG RANG UNDANG-UNDANG (RUU 668) “RASIONAL HAD UMUR BELIA DI BAWAH 35 TAHUN”

Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mengadakan Mesyuarat Dewan Tertinggi Khas bagi membincangkan halatuju dan pendirian MBM berhubung keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) seperti dibentangkan YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia baru-baru ini.

Mesyuarat ini dianggotai oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan ahli Dewan Tertinggi MBM dari 39 buah badan gabungannya yang merupakan majlis perundingan tertinggi MBM dan berfungsi sebagai pembuat dasar MBM.

MBM menyokong penuh segala usaha pembangunan belia sepertimana yang telah dirancang secara dinamik didalam Dasar Belia Malaysia. MBM juga melihat KBS sebagai ‘rakan paling akrab’ dan bersama-sama menjadi ‘pakar belia’ untuk merencana program bersama demi memastikan belia Malaysia menjadi lebih hebat sepertimana slogan Youth Power yang diangkat oleh YB Menteri Belia dan Sukan sendiri.

Seluruh barisan kepimpinan MBM secara zahirnya merasa amat terkilan di atas keputusan pindaan RUU yang dibuat kerana tiadanya kata putus akhir secara bersama antara KBS dan MBM selaku rakan strategik utama Kementerian Belia dan Sukan dalam pembangunan belia. Sedangkan MBM adalah pihak yang bakal terkesan langsung dengan pindaan ini khususnya berkaitan pindaan had umur belia dan suatu kerugian besar pada dunia pergerakan belia negara.

Selain itu, MBM juga merasa kecewa kerana had umur akan bermula 35 tahun sepertimana sepertimana janji Menteri Belia dan Sukan di Majlis Sambutan Hari Belia Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 15 Mei 2019 lalu tidak ditepati bahkan dimungkiri. MBM memohon untuk bersemuka dalam tempoh dua hari bagi menuntut hak yang telah dinafikan ini. MBM yakin perkara ini boleh diselesaikan secara baik.

Jika tidak, Dewan Teringgi MBM menyatakan pendirian untuk menolak pindaan ini kerana implikasinya bakal menjejaskan kelancaran proses transisi kepimpinan. Bukan itu sahaja, beberapa kebimbangan turut menjadi persoalan terutama mengenai skim-skim bantuan Kerajaan yang menjurus kepada belia seperti Skim Perumahan Belia, Tunas Usahawan Belia dan Agropreneur Muda yang mensyaratkan permohonan kepada golongan umur dibawah 35 tahun.

MBM tidak keseorangan dalam memperjuangkan hal had umur belia ini. Empat negeri iaitu Johor, Selangor, Perlis dan Sarawak telah megeluarkan kenyataan rasmi melalui Kerajaan Negeri masing-masing yang menyatakan penolakan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668).

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 8 Julai 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »