MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pembukaan National Ai Office : Langkah Besar Malaysia Menuju Pembangunan Teknologi Pintar

Oleh :

Tc. Sivanesan Tamil Selvam

Ketua Penerangan Majlis Belia Daerah Klang merangkap

Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Negeri Selangor

Tahniah diucapkan kepada Kementerian Digital Malaysia atas satu lagi pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan negara menuju masa depan teknologi melalui penubuhan National AI Office. Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen negara dalam merangkul teknologi kecerdasan buatan (AI), tetapi juga menetapkan asas kepada pembangunan ekosistem yang selamat dan bertanggungjawab untuk pengguna dan pelaksana. Langkah ini dijangka akan mempercepatkan penerapan teknologi AI dalam pelbagai sektor di Malaysia, sekaligus meletakkan negara di barisan hadapan inovasi global.

Pembangunan teknologi AI kini menjadi teras kemajuan dunia moden. Di peringkat antarabangsa, negara-negara seperti Amerika Syarikat, China, dan Jerman telah menunjukkan bagaimana AI dapat mempertingkatkan keberkesanan sektor perindustrian, kesihatan, pendidikan, dan banyak lagi. AI telah digunakan untuk meningkatkan automasi, menganalisis data besar, dan mengembangkan penyelesaian pintar yang memperbaiki kualiti hidup manusia. Dengan wujudnya National AI Office, Malaysia berpotensi besar untuk memanfaatkan peluang ini bagi mencipta pelbagai produk dan perkhidmatan yang berinovasi tinggi.

Selain daripada pembangunan teknologi, pejabat ini juga memainkan peranan penting dalam menetapkan code of conduct untuk memastikan ekosistem AI di Malaysia dibangunkan secara bertanggungjawab. Ini termasuk perlindungan terhadap penyalahgunaan teknologi, melindungi data peribadi pengguna, dan memastikan pelaksana AI beroperasi mengikut garis panduan etika yang ditetapkan. Pendekatan ini akan mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap teknologi AI, yang sering kali disalah fahami sebagai ancaman kepada pekerjaan manusia. Sebaliknya, ia membuka peluang baru kepada tenaga kerja untuk berkembang dalam persekitaran yang berteknologi tinggi.

Bagi belia Malaysia, penubuhan National AI Office memberikan ruang dan peluang yang amat besar. AI kini menjadi salah satu bidang kerjaya yang paling pesat berkembang di dunia, menawarkan pelbagai peluang kepada golongan muda yang berminat untuk menceburi sektor ini. Majlis Belia Malaysia, sebagai badan yang sentiasa menyokong pembangunan belia, bersedia untuk bergabung tenaga dengan Kementerian Digital dalam memberikan pendedahan dan peluang kepada generasi muda. Inisiatif ini boleh merangkumi program latihan, seminar, dan kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa untuk memastikan belia Malaysia memperoleh kemahiran terkini dalam dunia AI.

Malaysia berada di titik perubahan penting. Dengan membuka pintu kepada pelaburan, penyelidikan, dan inovasi dalam bidang AI, negara kita bukan sahaja mampu bersaing di peringkat global, tetapi juga menjadi pusat kecemerlangan teknologi di Asia Tenggara. Majlis Belia Malaysia percaya bahawa gabungan usaha kerajaan, swasta, dan badan belia akan mencipta ekosistem teknologi yang mampan dan berdaya saing.

Tahniah sekali lagi kepada Kementerian Digital Malaysia atas inisiatif berwawasan ini. Semoga National AI Office menjadi pemangkin utama dalam meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap teknologi dunia, sekaligus memberikan inspirasi kepada belia untuk menerajui perubahan dan inovasi di peringkat global.

Bertarikh : 9 Disember 2024

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »