MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pelarasan gaji legakan belia

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan pelarasan gaji untuk penjawat awam dengan kenaikan sebanyak 15 peratus bagi kumpulan pelaksana dan tujuh peratus untuk kumpulan pengurusan tertinggi.

Pelaksanaan yang dilaksanakan mengikut fasa ini pastinya amat dinanti-nantikan berikutan tiada kenaikan gaji bagi 1.6 juta penjawat awam sejak 12 tahun lalu.

Kenaikan yang diumumkan ini jelas menunjukkan kerajaan yang dipimpin Dato’ Seri Anwar Ibrahim amat menitikberatkan kebajikan penjawat awam terutamanya kumpulan pelaksana.

MBM beranggapan kenaikan gaji ini wajar dilaksanakan kerana penjawat awam berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi terutama dalam kalangan belia yang baru ingin memulakan hidup, yang tinggal di bandar besar dan mempunyai anak yang ramai. Selepas inisiatif ini dilaksanakan, diharapkan penjawat awam akan dapat meningkatkan kesejahteraan hidup sekaligus dapat menghasilkan mutu kerja yang lebih berkualiti.

Dari sudut lain, MBM juga berharap agar kerajaan dapat meningkatkan jumlah belia dalam kalangan penjawat awam. Laporan daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menunjukkan kebanyakan kementerian termasuk kerajaan negeri mempunyai jumlah penjawat awam berumur bawah 30 tahun kurang dari 10%.

Diharapkan juga agar kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan setiap keluhan penjawat awam yang berkhidmat untuk memastikan negara sentiasa berada di hadapan.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABD HAMID

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh  : 16 Ogos 2024

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »