MAJLIS BELIA MALAYSIA

PEJABAT SETIAUSAHA AGUNG MAJLIS BELIA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Malaysia ke Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun 2025 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dengan tema “Yakin Boleh”, sambutan tahun ini mengetengahkan lebih 130 aktiviti melalui 5 segmen utama, antaranya Port Jana Duit (TVET & kerjaya), Port Healing (kesihatan mental), Port Gaming (e-sukan), Port Wadah Insan, serta Pavilion ASEAN yang menampilkan keterlibatan belia daripada 10 negara ASEAN. Program ini menampilkan pelbagai segmen menarik termasuk Konsert Belia ASEAN, pameran kerjaya MYfutureJobs dan keusahawanan, perkongsian oleh pencipta kandungan digital, autoshow motosikal dan kereta, serta segmen TVET dan teknologi belia. Turut diadakan ialah aktiviti berbentuk cabaran, bengkel interaktif dan forum melibatkan tokoh-tokoh muda dalam bidang teknologi, inovasi dan kepimpinan.

Majlis kemuncak sambutan ini akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 14 Jun 2025 jam 8 malam, sebagai simbol penghargaan tertinggi Kerajaan terhadap peranan belia dalam pembangunan negara. Acara ini turut akan menyaksikan upacara penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2025 dan pelbagai persembahan daripada artis-artis tempatan.

Penganjuran HBN 2025 ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan rakan strategik dalam memperkasa pembangunan belia melalui pendekatan yang inklusif, progresif dan sejajar dengan arus Revolusi Industri 4.0.

Orang ramai, khususnya para belia, dijemput hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti yang bukan sahaja menghiburkan, malah membuka peluang pembelajaran, jaringan, dan kerjaya. HBN 2025 bukan sekadar sambutan, tetapi satu platform besar buat belia untuk menyuarakan aspirasi, mempamerkan bakat, dan membentuk masa depan negara.

MBM menyeru semua belia untuk ikut serta menjayakan sambutan ini sebagai medan kebersamaan belia ke arah membina Malaysia MADANI yang progresif dan inklusif.

AHMAD FARHAN BIN ROSLI

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 12 Jun 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »