SAIFUDDIN ABDULLAH
“ASEAN perlu berubah menjadi organisasi berteraskan-rakyat, iaitu dengan penyertaan secara langsung oleh semua pihak dan bukannya oleh elit dan pakar semata-mata”.
Demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucaptamanya di Kolokium Kebangsaan Malaysia Sebagai Pengerusi Asean 2015, di Kuala Lumpur, pada 8-10 April lalu.
Kolokium itu dianjurkan Wisma Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Diplomasi dan Dasar Luar (IDFR) dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (Isis). Ia dihadiri diplomat, bekas diplomat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, sektor perniagaan, masyarakat sivil dan pemimpin belia.
Kenyataan Datuk Seri Najib itu merujuk matlamat utama Malaysia yang akan (sekali lagi) memimpin organisasi serantau ini pada tahun depan. Ini penting kerana bagi majoriti besar penduduk Asean, organisasi ini tidak lebih daripada perkumpulan ketua-ketua kerajaan dan pihak tertentu sahaja. Mereka tidak berasa yang mereka sebahagian daripada Asean.
Pada saya, masalah Asean selama ini ialah pihak selain kerajaan, contohnya masyarakat sivil dan belia, tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan. Inilah antara cara Asean yang negatif. Ia mesti diubah.
Kerana itu, saya menghargai undangan membentangkan tentang partisipasi belia (dan memuji penganjur yang mengundang pembentang lain membicarakan partisipasi masyarakat sivil), iaitu dalam usaha pembinaan komuniti Asean, di kolokium itu.
Walaupun saya Pengerusi Akademi Belia, tetapi atas prinsip perjuangan belia, yang dipegang sejak sebelum dan semasa menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dulu, maka, saya telah terlebih dulu merundingkan pembentangan saya ini dengan Presiden MBM Mohamed
Maliki Mohamed Rapiee dan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asean (CAYC) Mohd Zaidi Aziz.
Kebetulannya, atas inisiatif MBM, satu Perbincangan Meja Bulat tentang perkara yang sama telah dianjurkan MBM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada 5 April lalu, di mana saya dijemput antara pembentangnya.
Saya menegaskan bahawa teras utama partisipasi belia dalam komuniti Asean ialah partisipasinya dalam proses membuat keputusan. Sebagai Pengerusi Asean, Malaysia perlu melakukannya. Kalau tidak, maka tak payahlah bercakap tentang partisipasi belia. Lebih baik bercakap tentang belia sebagai peserta semata-mata.
“Partisipasi belia ada makna tersendiri. Ia menjadi istilah penting sejak Tahun Antarabangsa Belia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1985. Resolusi Program Belia Tahun 2000 Dan Selanjutnya PBB 1995 menekankan soal partisipasi belia yang penuh dan aktif. Tetapi, Asean kurang menghayatinya.
Justeru, partisipasi belia mesti bermula dengan pandangan alam yang tepat. Pemimpin Asean mesti memahami Realiti Baharu (ICT/media baharu, kesedaran/gerakan baharu sosial dan demokrasi fasa ketiga), kerangka governans yang melibatkan semua sektor (kerajaan, perniagaan dan belia/masyarakat sivil), prinsip dan pendekatan belia (partisipasi, penghakupayaan dan perwakilan), orientasi gerakan belia (aktiviti, khidmat dan advokasi) dan ciri-ciri gerakan belia (kesukarelaan, bebas dan non-partisan).
Kerangka sedia ada perlu diperkukuhkan, iaitu: memperkuatkan organisasi belia kebangsaan setiap negara anggota; meningkatkan peranan CAYC dan melaksanakan sepenuhnya Dasar Belia Asean.
Dari segi program, apa yang penting bukannya kuantiti dan pesta-pestaan, tetapi adalah kualiti. Bayangkanlah hari ini, program belia Asean yang paling konsisten dan terkenal iaitu ‘Kapal Belia Asean’ bukannya anjuran Asean, tetapi anjuran Jepun!
Saya mencadangkan, antara lain, dua program baharu, iaitu: Program Kepemimpinan Muda Asean bagi meningkatkan solidariti serantau dan keamanan global yang berteraskan kesederhanaan; dan Jaringan Keusahawanan Sosial (senAsean) bagi membangunkan dan menghimpunkan usahawan-usahawan sosial muda yang berminda serantau.
Pokoknya, Malaysia mesti melakukan sesuatu yang berbeza.
• Saifuddin Abdullah (twitter: @saifuddinabd) ialah Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global.