MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pantau penggunaan media sosial

SEGAMAT 10 Sept. – Ibu bapa digesa sentiasa memantau penggunaan Internet dan media sosial anak-anak bagi mengelakkan golongan tersebut berdepan dengan pelbagai risiko termasuk terjebak dalam masalah sosial.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, ibu bapa seharusnya memberi perhatian serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal penggunaan Internet supaya penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu memberi manfaat kepada mereka, khususnya dalam membantu proses pembelajaran.

“Sekiranya mereka memanfaatkan Internet atau laman media sosial dengan perkara-perkara berfaedah, itu tidak mengapa. Jika sebaliknya, itu yang perlu kita awasi dari awal sebelum bertambah parah,” katanya semasa penutupan Kem Eksplorasi Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (Rimup) Sekolah-sekolah Menengah Daerah Segamat di Pusat Kokurikulum Johor Cawangan Segamat di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Unit Kokurikulum negeri, Kamaruddin Mohd. Tahir; Pegawai Hal-Ehwal Murid Daerah Segamat, Anuar Hashim dan Penyelia Kokurikulum Daerah Segamat, Johari Marsan.

Anuar yang juga Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) berkata, ibu bapa perlu melakukan pemantauan secara berkala terhadap penggunaan gajet anak-anak seperti telefon pintar dan komputer riba agar tidak berlaku sebarang penyalahgunaan.

Katanya, berdasarkan maklum balas dan tinjauan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 65.5 peratus daripada responden berpendapat laman media sosial banyak memberi risiko negatif terhadap kanak-kanak.

Tinjauan itu juga mendapati sebanyak 92.5 peratus bersetuju ibu bapa seharusnya lebih bertanggungjawab mengawasi anak-anak dalam penggunaan Internet dan laman media sosial berbanding guru, penyedia perkhidmatan Internet (ISP) serta kerajaan.

“Saya harap pihak pentadbiran sekolah dapat memperbanyak lagi program atau aktiviti yang dapat menyemai integriti kaum antara pelajar berikutan situasi-situasi semasa yang berlaku di negara ini.

“Langkah ini juga sebagai langkah awal kepada para pelajar untuk menghormati kaum-kaum lain yang ada di Malaysia supaya kita kekal bersatu,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »