MAJLIS BELIA MALAYSIA

MyVOC : Bantuan Beg Sekolah Untuk Anak- Anak Mangsa Banjir

Bukit Mertajam, 19 Nov – Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MyVOC) telah menyalurkan bantuan beg sekolah kepada pelajar-pelajar yang menjadi mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam majlis ringkas yang diadakan di Surau An-nur Taman Permai Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini, MBM telah menyerahkan lebih 50 buah beg sekolah yang disampaikan oleh Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

Datuk Musa dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada MBM, majlis belia negeri dan daerah atas sumbangan ini walaupun kecil namun amat membantu meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah.

“Ini kerana, banjir besar baru-baru ini menyebabkan sebahagian besar peralatan pembelajaran anak-anak ini rosak terutamanya buku dan alatulis”.

“Pihak kita juga sedang merangka bantuan-bantuan yang perlu untuk mangsa-mangsa banjir di kawasan Taman Permai Jaya ini dan berharap penduduk-penduduk dapat bersabar”, ujar beliau.

Majlis ini turut dihadiri Puan Asfalinda Anuar, Naib Presiden MBM merangkap Biro Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Keluarga MBM, Encik Ismail Ibrahim, Pengerusi Masjid Kg Bharu, Bukit Mertajam serta Sdr. Razali Mat Jini, Exco MBN Pulau Pinang merangkap Timbalan YDP MBD Seberang Perai Tengah.

Asfalinda berkata, “dalam kesibukan kita melaksanakan aktiviti membersihkan rumah mangsa banjir di kampung Manggis, kita juga mengambil kesempatan menyampaikan bantuan beg sekolah sebagai bantuan persiapan mereka ke sekolah tahun hadapan”.

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »