KOTA BHARU 11 April – Program Muafakat Belia Malaysia Edisi Kelantan berlangsung dengan penuh makna melalui pertemuan strategik bersama pimpinan Majlis Gabungan Belia Kelantan, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pembangunan belia secara inklusif dan menyeluruh.
Sesi dimulakan dengan taklimat pelaksanaan Sejati MADANI Edisi Belia, merangkumi perkongsian pelbagai inisiatif serta bantuan kerajaan yang tersedia untuk memperkukuh peranan pertubuhan belia sebagai rakan pembangunan negara.
Turut diadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia bagi memperhalusi pelaksanaan program yang lebih holistik, khususnya dalam memastikan golongan belia di kawasan luar bandar dan bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan nasional.
Pertemuan ini turut disusuli sesi bersama Timbalan Menteri Perpaduan yang memberi penekanan kepada isu-isu perpaduan, serta usaha memperkukuh kefahaman dan kerjasama dalam kalangan masyarakat bagi menangani sebarang salah faham berkaitan perpaduan.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh muafakat, memperkasa belia, serta menyemarakkan semangat kenegaraan demi masa depan Malaysia yang lebih bersatu dan sejahtera.
Hadir sama Setiausaha Agung MBM, Sdr. Ahmad Farhan Rosli.






