Kuala Lumpur | 10 Julai – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang I Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 telah berjaya dilaksanakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras. Persidangan ini merupakan anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sidang MPBN ini telah dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan turut disertai oleh Timbalan Menteri, YB Adam Adli.
Hadir sama wakil-wakil pengurusan tertinggi KBS, Exco Kerajaan Negeri, serta para pegawai daripada pelbagai kementerian dan agensi persekutuan.
MBM bersama badan-badan gabungannya diketuai oleh Presiden, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, serta Pengerusi Tetap, Sdr. Muhamad Naim Al Amin Saharudin.
Kehadiran pemimpin-pemimpin belia dari seluruh negara dan Ahli Lantikan Menteri turut memperkukuh suara dan aspirasi generasi muda dalam pentas dasar negara.
MPBN merupakan platform penting yang menghubungkan pemimpin belia di peringkat negeri dan kebangsaan dengan pihak kementerian serta agensi kerajaan. Ia menjadi ruang perbincangan strategik yang menyelaras hala tuju pembangunan belia Malaysia secara kolektif dan menyeluruh.
Dalam persidangan kali ini, tiga usul utama telah dikemukakan dan dibahaskan, iaitu gesaan agar Kertas Putih Keselamatan Jalan Raya dibentangkan, cadangan penambahbaikan sistem kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT), dan keperluan menjalankan kajian menyeluruh terhadap had umur persaraan sejajar dengan realiti semasa.






































