MAJLIS BELIA MALAYSIA

MPBN cadang kerajaan perkenal Pelan Tindakan Mitigasi Banjir Holistik

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) — Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) mengambil ketetapan agar kerajaan memperkenalkan pelan tindakan mitigasi bencana banjir yang holistik dan bersepadu. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan sidang ketiga MPBN, penggal 34 sesi 2023- 2024 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini memberitahu pelan berkenaan perlu merangkumi pelbagai langkah melibatkan pemeliharaan alam sekitar, pembangunan infrastruktur mesra banjir serta kesedaran masyarakat bagi mengurangkan risiko dan kesan bencana itu di Malaysia.

Menurut KBS, sidang MPBN turut mengambil ketetapan agar kerajaan menekankan keperluan mendesak untuk menangani ancaman penyalahgunaan dadah moden atau sinetik dalam kalangan remaja khususnya di peringkat sekolah menengah, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta risiko penyeludupan di sempadan negara.

“Sidang ini turut mengambil ketetapan bagi memohon agar kerajaan memperkukuh ekosistem industri e-sukan bagi meningkatkan penglibatan belia secara sihat,” menurut kenyataan itu.

MPBN yang diperuntukkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) merupakan sesi libat urus dan persidangan intelektual yang menghubungkan pemimpin pertubuhan negeri serta kebangsaan dengan wakil-wakil kementerian dan agensi Persekutuan.

Antara tujuan penganjuran MPBN adalah mengangkat suara dan pandangan golongan belia ke peringkat tertinggi kerajaan, memperkasakan pembangunan belia dari kepelbagaian perspektif yang mampu memberikan impak kepada negara serta melahirkan belia dengan jati diri unggul selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan MPBM 2030.

Artikel penuh :

https://bernama.com/bm/news.php?id=2372996&fbclid=IwY2xjawHHNONleHRuA2FlbQIxMQABHZWMtKmNvUdt26QpieCc383aGamlB76emwqREBNrsDvW164r7b2XpZC1FQ_aem_9SDenwo1SuyYI6BAQP1Jdw

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »