MAJLIS BELIA MALAYSIA

MPAT71 MBM : pemilihan kepimpinan terakhir sebelum kepimpinan belia di bawah 30 tahun

Majlis Belia Malaysia (MBM) akan mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke-71 pada 5 hingga 7 Mac 2022 di Dorsett Grand Subang, Subang Jaya, Selangor.

MBM ialah badan induk pergerakan belia Malaysia dengan 41 buah badan gabungan terdiri dari pertubuhan belia peringkat kebangsaan dan majlis-majlis belia negeri. Seramai 395 orang perwakilan layak mengambil bahagian dalam MPAT kali ini yang akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.

Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha akan menyampaikan ucapan dasar bertajuk “Memotret Memorabilia di Medan Memacu Wagas 2048” yang dijangka menyentuh pelbagai isu seperti adab dan kreadibiliti kepimpinan, politik (Undi18) dan pembinaan negara (nation building) di samping isu-isu semasa negara.

MPAT kali ini juga akan memenuhi salah satu tuntutan Perlembagaan MBM bagi memilih barisan kepimpinan MBM untuk sesi 2022 – 2024. MBM menjangkakan wujud persaingan bagi beberapa jawatan penting seperti Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari selain Ahli Jawatankuasa Kerja.

Era ini juga merupakan tempoh terakhir sebelum Akta Pembangunan Belia dan Pertubuhan Belia 2007 (Akta 668) dikuatkuasakan yang menyaksikan kepimpinan belia di semua peringkat berumur di bawah 30 tahun.

Penamaan calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja MBM akan diadakan pada 5 Mac 2022 dan proses pengundian akan berlangsung pada 6 Mac 2022.

Kepimpinan MBM di bawah teraju Sdr. Jufitri Joha (2018-2020 & 2020-2022) menggalas tanggungjawab berat dan menguji kekuatan badan induk belia ini dalam mendepani situasi besar landskap politik negara ditambah pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada pergerakan belia.

Fokus MBM dan badan gabungannya terus membantu rakyat khususnya golongan muda yang berdepan kesukaran akibat pandemik melalui aplikasi maya seperti webinar peluang pekerjaan, dana perniagaan, latihan kemahiran, keusahawanan agro pertanian dan ternakan dengan kolaborasi kementerian, agensi, NGO dan pihak swasta.

Dalam masa sama, MBM dan badan gabungannya turun padang menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan melalui sumbangan ‘prosperity box’ yang diterima dari kedutaan Besar China di Malaysia hasil hubungan baik MBM dengan pihak kedutaan.

Selain itu, MBM tidak ketinggalan dalam bertindak balas terhadap isu dan permasalahan belia nasional serta global. MBM juga terlibat aktif dalam penyediaan Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) 2030 yang akan menjadi panduan kepada pergerakan belia mendepani alaf akan datang.

MBM juga terlibat secara aktif dalam agenda gerak kerja Undi18 melalui advokasi dan kempen kesedaran mengundi kepada generasi muda khususnya yang pertama kali mengundi.

Manakala program-program kesukarelaan, kepimpinan dan kemasyarakatan menjadi agenda berterusan MBM dalam melahirkan golongan belia yang berkualiti, lebih tinggi dan berwibawa seterusnya mampu mengambil alih kepimpinan Negara satu hari nanti.

Justeru, MBM bersama rakan strategiknya iaitu Kementerian Belia dan Sukan akan terus menerajui usaha melindungi hak-hak dan memperjuangkan kepentingan generasi muda di negara ini. MBM juga bersedia meneroka wilayah baru dengan semangat, keazaman dan pendekatan yang lebih jitu.

Menggerak Belia!

HASNUL HANIFF HARUN

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 1 Mac 2022

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »