KUALA LUMPUR – Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Pertubuhan Belia Berstatus Kebangsaan sempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2025.
Pengiktirafan itu secara tidak langsung telah mengangkat organisasi tersebut sebagai antara pertubuhan belia paling cemerlang dan berimpak tinggi di peringkat nasional.
Menurutnya, antara inisiatif utama yang mengangkat organisasi berkenaan ialah Kem Generation Rise, Lead and Serve (GenRLS) yang merupakan komponen utama Pelan Transisi Kepimpinan Belia Bawah 30, selaras dengan Akta Belia (Pindaan) 2019.
“Program ini bertujuan membentuk barisan pemimpin pelapis belia India yang beretika, berdaya tahan dan berpandangan jauh, ia dijalankan di enam negeri dan melahirkan ratusan pemimpin muda yang kini aktif dalam advokasi, komuniti dan sektor pembangunan negara.
“MIYC ditubuhkan pada 1991 oleh Viveka Sri Rajaretinam Armugam dan berkembang daripada gerakan komuniti kepada organisasi belia nasional dengan lebih 11,900 ahli aktif dan 123 cawangan di seluruh negara.
“Bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) dan diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MIYC kini menjadi salah satu pertubuhan belia paling tersusun, progresif dan inklusif di Malaysia,” katanya pada Ahad.
Untuk rekod, anugerah itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Seri Datuk Dr Johari Abdul.
Mengulas lanjut, MIYC berkata, organisasi itu turut menerajui pelbagai program berimpak tinggi yang menyumbang kepada kejayaan tersebut termasuk UyarKalvi dan pecutan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu bimbingan akademik percuma kepada lebih 230 pelajar sejak 2022.
“Program lain seperti karnival Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembudayaan integriti bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Selain itu, MIYC turut menjalin hubungan strategik dengan Suruhanjaya Tinggi India untuk pertukaran budaya dan kerjasama dua hala.
“Pengiktirafan ini bukti nyata bahawa kepimpinan minoriti mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan MIYC akan berusaha menjadi ruang inklusif dan progresif untuk melahirkan pemimpin muda yang bersedia membawa perubahan,” ujarnya.
Artikel penuh :