MAJLIS BELIA MALAYSIA

Minda: Peluang belajar setara

presidenOleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

MINGGU lalu seorang remaja bertanyakan soalan yang agak sukar untuk saya jawab secara spontan sewaktu membeli kuih untuk minum petang bersama keluarga di Pekan Gelugor, Pulau Pinang. Dia adalah anak Mak cik penjual kuih yang kini sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Remaja berkenaan menyatakan rasa keliru dan bimbang berhubung jenis kursus atau jurusan yang ingin dipohon.

Maka, saya nyatakan secara ringkas bahawa jurusan yang boleh dia pilih, termasuk terus ke tingkatan enam, mengikuti kursus diploma atau sijil berdasarkan kelayakan serta minat.

Saya bersimpati kepadanya kerana mendapati dia sudah membeli semua borang permohonan, termasuk bidang yang tidak berkelayakan. Remaja ini bertambah risau apabila si ibu secara berseloroh bercadang menikahkan anak gadisnya jika dia tidak lagi berpeluang melanjutkan pelajaran.

Saya yakin kisah seperti di atas adalah senario biasa yang terjadi kepada anak remaja kita yang baru menamatkan tempoh persekolahan wajib sebelas tahun iaitu selepas menduduki peperiksaan SPM.

Sebenarnya hal sedemikian perlu kita tangani secara mendalam. Proses bimbingan terhadap hala tuju kerjaya dan pembelajaran lanjutan bukan saja perlu dijalankan oleh guru di sekolah, bahkan juga oleh ibu bapa, waris serta masyarakat setempat, termasuk NGO seperti persatuan belia.
Remaja juga harus rajin dan proaktif. Jangan hanya berharap orang lain menyampaikan maklumat. Dalam suasana ketembusan media baru yang amat tinggi seperti Internet dan siaran televisyen berbayar, bukanlah satu alasan munasabah untuk mengatakan bahawa remaja sukar untuk mendapatkan maklumat daripada laman sesawang agensi yang berkaitan.

Jangan hanya menghadap skrin komputer semata-mata melayan laman sosial seperti facebook dan leka bermain ‘FarmVille’. Bagi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mereka adalah golongan yang lebih bertuah kerana terdapat input berkaitan kerjaya dan hala tuju akademik pasca-SPM dalam modul latihan sepanjang program berlangsung.

Terdapat dua pilihan utama pelajar selepas SPM iaitu sambung belajar atau bekerja (walaupun akan ada yang mencadangkan pilihan ketiga iaitu berkahwin, namun ia boleh dimasukkan dalam opsyen kedua iaitu bekerja).

Saya yakin sekiranya diberikan pilihan sebahagian besar remaja kita akan berusaha menempatkan diri bagi menyambung belajar. Umum mengetahui pilihan utama remaja serta ibu bapa ialah untuk belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG). Jumlah kemasukan yang terhad di IPT awam akan mendorong ibu bapa mengeluarkan belanja yang besar untuk remaja beElajar di IPT swasta.

Bagi sesetengah remaja yang kurang berkemampuan dari segi kelayakan akademik serta keupayaan kewangan, akan terus terjun ke dunia pekerjaan. Hakikatnya terdapat kira-kira 100,000 lepasan SPM yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran.

Hal ini amatlah membimbangkan kerana ia seolah-oleh membiarkan seseorang yang pergi ke medan perang tanpa sebarang peralatan dan kemahiran untuk bertempur. Sudah pasti ia akan pulang dengan kecederaan yang menyeksakan atau hanya sekujur tubuh yang tidak bernyawa.

Kepada kumpulan ini, saya menyarankan agar anda terus menumpukan kepada proses pembelajaran dalam bidang teknikal dan vokasional.

Kini di negara kita terdapat banyak kolej kemahiran sama ada yang disediakan kerajaan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP), GiatMara serta pusat latihan di peringkat negeri. Malah, terdapat banyak kolej kemahiran swasta yang mengkhususkan dalam bidang tertentu seperti mekatronik, automotif, pertanian dan kecantikan.

Sebenarnya tiada sebab untuk sesiapa pun menyatakan bahawa tidak ada peluang melanjutkan pelajaran yang mencukupi bagi lepasan SPM. Yang perlu kita lakukan ialah menggalakkan lebih ramai lepasan SPM memilih pengajian dalam bidang kemahiran. Paradoks lama yang mengatakan bahawa pengajian kemahiran adalah pengajian kelas kedua adalah suatu pandangan salah dan harus diketepikan.

Tiada istilah ‘peluang pertama’ bagi pengajian di IPT atau ‘peluang kedua’ bagi pengajian di kolej kemahiran untuk pelajar lepasan SPM. Yang ada ‘peluang setara yang utama’ bagi keseluruhan rakyat Malaysia. Hal ini diakui Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bertajuk “Mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional”.

Beliau menyatakan, “di negara maju, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi antara pilihan utama pelajar kerana ia menyediakan prospek kerjaya yang baik. Sebaliknya di negara kita, ia dilihat sebagai pilihan terakhir kerana persepsi prospek kerjaya yang terhad”.

Sebagai bukti, kerajaan melalui pembentangan Bajet 2012 memperuntukkan RM200 juta bagi peningkatan pendidikan kemahiran untuk rakyat khasnya belia. Belia khasnya lepasan SPM harus merebut peluang ini sebaiknya. Tanamkan rasa yakin diri dengan melihat jauh ke hadapan. Tingkatkan ketabahan dengan mencabar diri sendiri agar menjadi yang lebih baik pada setiap waktu. Kejayaan seribu langkah di puncak bermula pada langkah pertama. Biar langkah anda kecil dan lambat, asalkan tiba di garisan penamat.

Anda seharusnya dapat menahan hati dari terus bekerja berbekalkan sijil SPM kerana bayaran yang diterima hanya kira-kira RM3.80 sejam untuk kerja selama 8 jam sehari. Sedangkan jika anda tabah untuk mengikuti latihan kemahiran sehingga memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sudah pasti gaji yang diterima berkali-kali ganda daripada angka di atas.

Saya sendiri menyaksikan terdapat anak muda lepasan IKBN dan Kolej Komuniti yang ditawarkan bekerja pada hari akhir peperiksaan dan mendapat gaji yang lumayan.

Bak kata pepatah, “perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan”. Kini terletak pada setiap remaja untuk memilih laluan kerjaya sama ada yang bersifat segera dengan faedah jangka pendek atau yang berasaskan kemahiran khusus dengan ganjaran yang berlipat ganda. Harus diingat, menjelang 2015, warga yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan akan dianggap berpendapatan sederhana rendah kerana sasaran pendapatan per-kapita rakyat melalui Model Baru Ekonomi (MBE) Negara ialah RM49,000 setahun atau RM4,083 sebulan.

Bagi tujuan itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) sudah melancarkan Program 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K) pada 2010 dengan mensasarkan agar setiap belia mesti memiliki sijil kelayakan tambahan selepas menamatkan peperiksaan SPM. Kita tidak mahu belia kita merempat di negara sendiri dan terpinggir dari arus perdana pembangunan.

INFO

  • Hakikatnya terdapat kira-kira 100,000 lepasan SPM yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran
  • Majlis Belia Malaysia (MBM) mempunyai Program 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K) yang menyasarkan setiap belia mesti memiliki sijil kelayakan tambahan selepas menamatkan peperiksaan SPM

    Penulis berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »