Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
PERJALANAN hidup kita kini memasuki Mei 2012. Diam tak diam kita sudah hampir menghabiskan separuh daripada tempoh kitaran 2012. Bagi sesetengah orang tempoh lima bulan ini terlalu banyak yang ingin dilakukan sedangkan masa berputar terlalu pantas.
Bagi sesetengah orang tempoh sama berlalu saja tanpa sebarang pencapaian. Begitulah perbezaan bagi orang yang ada matlamat dengan yang hanya hidup berpandukan putaran masa tanpa hala tuju.
Menjejaki Mei setiap tahun adalah bulan yang memerlukan kita untuk mengenang banyak peristiwa penting negara. Terdapat banyak sambutan serta perayaan ditetapkan pada Mei.
Ada banyak ‘hari’ pada Mei. Ia bermula dengan Hari Pekerja pada 1 Mei, Hari Bomba Sedunia pada 7 Mei, Hari Ibu pada 13 Mei, Hari Belia pada 15 Mei dan Hari Guru pada 16 Mei.
Sebenarnya ada banyak lagi tarikh penting berlaku pada Mei untuk dikenang dan diraikan. Dalam dunia politik Umno kini sedang diadakan larian bendera sempena ulang tahun kelahiran parti itu yang ke-66 tahun.
Pada hemat penulis, ada makna tersirat mengapa Mei dimulai dengan sambutan besar Hari Pekerja dan seterusnya diikuti dengan sambutan bagi hari lain sebagaimana di atas tadi.
Ia memberi makna betapa besarnya peranan dan jasa golongan pekerja terhadap pembangunan negara. Kelangsungan sesebuah negara bergantung kepada kekuatan rakyat untuk bekerja sama ada menggunakan tulang empat kerat atau juga cetusan akal fikiran masing-masing.
Sambutan Hari Pekerja 2012 memberikan makna sangat besar dalam usaha kita memastikan jurang sosioekonomi rakyat Malaysia dapat dikecilkan. Keputusan kerajaan menetapkan gaji minimum RM900 kepada pekerja di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah satu langkah bertanggungjawab terhadap rakyatnya.
Sebenarnya tidak banyak negara yang sanggup mengambil tindakan sedemikian. Isu gaji minimum sering menjadi polemik dan mainan tarik tali antara kumpulan kesatuan pekerja dan komuniti majikan di seluruh negara di dunia.
Malah, isu ini sering meletakkan sesebuah kerajaan dalam keadaan dilema kerana keputusan menetapkan gaji minimum pasti akan memberi kesan kepada kedua-dua kelompok iaitu pihak pekerja dan majikan.
Hanya kerajaan yang bijak dan berwibawa mampu menemukan kedua-dua pihak di atas kepada satu titik pertemuan yang bersifat menang-menang tanpa menjejaskan hubungan dan proses pengeluaran serta pembangunan sumber tenaga kerja di negara berkenaan.
Jika dilihat di luar negara, persetujuan dan keputusan yang dicapai selalunya ditentukan melalui tindakan amat radikal seperti mogok dan demonstrasi. Jika dilihat sejarah sambutan Hari Pekerja itu sendiri sebenarnya bermula 1886 sebagai meraikan kejayaan pekerja atau kaum buruh yang melakukan tunjuk perasaan bagi mendesak majikan mewujudkan sistem lapan jam waktu bekerja di Amerika Syarikat.
Amalan tunjuk perasaan dan demonstrasi masih digunakan di kebanyakan negara sewaktu sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu. Hakikatnya dalam kebanyakan tuntutan masih juga tidak mampu dipenuhi oleh sesebuah kerajaan walaupun demonstrasi serta mogok dilaksanakan berulang kali. Ia hanya menjejaskan produktiviti syarikat dan menjauhkan lagi peluang ekonomi serta pelaburan di negara tersebut.
Dalam konteks Malaysia, kita amat bersyukur kerana dikurnia kerajaan yang bijak dan berkemampuan. Kumpulan kesatuan pekerja pula dibarisi pemimpin yang matang, rasional dan tabah.
Meja rundingan sentiasa terbuka dan dijadikan asas setiap tuntutan. Hasilnya keputusan peraturan gaji minimum ini dicapai dengan penuh harmoni serta penghormatan. Yang lebih membanggakan ialah keputusan ini meletakkan Malaysia mendahului banyak negara lain yang mendakwa lebih demokratik dan memperjuangkan hak asasi manusia.
Ia adalah kejayaan pemimpin kesatuan sekerja yang sentiasa mengambil berat dan memperjuangkan nasib pekerja di negara ini secara matang dan rasional. Di sesetengah negara lain, keputusan sedemikian pasti diiringi kecederaan serta kerosakan, malah mungkin pertumpahan darah akibat rusuhan dan tunjuk perasaan. Ini membuktikan majoriti rakyat Malaysia tetap menjadikan perundingan dan toleransi sebagai asas perjuangan serta tuntutan.
Hanya segelintir orang yang sentiasa bersikap tidak sabar dalam tuntutan mereka sehingga hilang sifat manusia. Peristiwa rusuhan yang berselindung di sebalik perhimpunan 28 April lalu bukti betapa manusia boleh bertukar kepada sikap dan watak binatang apabila mengetepikan undang-undang dan etika dalam kehidupan mereka.
Seorang anak muda yang pada kebiasaannya amat terpelajar dan romantis tiba-tiba bertukar watak seperti samseng jalanan dan memukul anggota polis tanpa usul periksa. Seorang wanita yang amat penyayang di mata anak serta cucu juga boleh terpekik dan terlolong sambil mencarut di tengah jalan. Ini belum lagi Tok Haji yang berketayap serta tidak pernah tinggal solat berjemaah tetapi bertukar kepada watak kaki pukul dan penjenayah hanya kerana ketaksuban terhadap perjuangan mereka.
Saya pasti ada dalam kalangan peserta perhimpunan itu yang malu sendiri dan menitiskan air mata apabila mengenangkan sikap buruk masing-masing.
Penulis berharap majikan menerima ketetapan peraturan gaji minimum ini dengan hati yang terbuka. Janganlah dijadikan alasan peningkatan kos pengeluaran sebagai satu sebab menurunnya kualiti barang atau perkhidmatan ditawarkan.
Sesetengah industri serta majikan sudah lama menikmati keuntungan dengan memerah keringat serta air mata pekerjanya. Kini tibalah masanya untuk anda semua ‘memulangkan’ sedikit keuntungan kepada pekerja. Kepada pekerja pasti berasa amat gembira kerana penetapan gaji minimum ini dapat menjamin kehidupan yang lebih bermakna. Kita harus meningkatkan ketekunan dan kerajinan agar terus dihargai majikan.
Paling penting ialah pesanan penulis kepada peniaga di luar sana. Janganlah sewenang-wenang menaikkan harga barang? Inilah kebimbangan paling besar rakyat terhadap sikap rakus peniaga dan pemborong. Alasan kenaikan kos pengeluaran sering menjadi momokan sebagai sebab harga barang dinaikkan.
Jadilah seorang peniaga budiman yang berpegang kepada nilai kemanusiaan. Jangan jadikan duit dan wang ringgit sebagai kiblat.
Penulis yakin pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersedia dengan fenomena ini. Namun, yang paling penting ialah peranan masyarakat, khasnya pimpinan badan bukan kerajaan untuk menjadi mata dan telinga rakyat dalam memantau harga barangan di pasaran.
Penulis memuji tindakan penubuhan Skuad Pengguna di setiap negeri demi memastikan pengguna menikmati harga yang berpatutan. Dengan kerjasama semua pihak sudah pasti kemakmuran negara ini akan berkekalan dan dinikmati secara adil dan saksama.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM