KUALA LUMPUR 11 Feb – Satu Mesyuarat Penyelarasan Rentas Agensi bagi Program Kayuhan Santai DYTM Raja Muda Perlis di Bandar Tun Razak telah berlangsung di Wisma MBM hari ini, melibatkan pelbagai agensi strategik bagi memastikan kelancaran penganjuran program berkenaan.
Antara agensi yang terlibat ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Wisma Zelan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) serta Unit Protokol Istana Perlis.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Syafiq Ridzwan, bagi menyelaras gerak kerja teknikal dan logistik susulan keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang berkenan mencemar duli menjayakan program kayuhan santai ini.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung II MBM, Sdr. Syahmi Shamsudin.
Penyelarasan rentas agensi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan penganjuran program berjalan teratur, selamat dan memberi impak positif kepada komuniti belia serta masyarakat setempat.












